Inkues Zara Qairina: Kematian bukan akibat terjatuh, ditolak
KOTA KINABALU – Pakar Patologi Forensik Hospital Queen Elizabeth, Dr Jessie Hiu berpendapat, kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir tidak mungkin disebabkan terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak ketika berada di lokasi kejadian.
Demikian hujah profesional Dr Hiu yang merupakan pakar dalam prosiding inkues kes itu berhubung kecederaan antemortem (sebelum kematian) yang dialami remaja berkenaan.

“Saya telah meneliti rekod perubatannya termasuk radiograf, laporan imbasan CT dan CTA selain membuat pemeriksaan di lokasi kejadian pada 2 Ogos lalu.
“Berdasarkan pemeriksaan di asrama si mati, ukuran dari lantai ke rel besi melintang paling atas yang dipasang pada tembok konkrit di tingkat tiga adalah 118 sentimeter.
“Perbezaan antara ketinggian si mati dengan rel besi melintang itu ialah 36 sentimeter, yang mana ketinggiannya melebihi tiga perempat tubuh si mati dan berkemungkinan berada di atas pusat graviti,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Kenyataan bertulis setebal lima muka surat itu dibacakan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan ketika siasatan dijalankan di lokasi kejadian pada 2 Ogos, pukul 12.30 tengah hari.
Dr Hiu menjelaskan, bagi wanita, pusat graviti lazimnya terletak di bahagian pelvis iaitu di bawah pusat ketika berdiri.
“Berdasarkan ukuran ketinggian dan lebar tembok konkrit, ketinggian rel besi serta ketinggian antemortem si mati, adalah berkemungkinan untuknya memanjat tembok konkrit, menyeberangi rel besi dan berdiri di atas tembok konkrit tersebut,” ujarnya.
Beliau yang berkhidmat sejak 1998 di Hospital Queen Elizabeth, secara purata mengendalikan dan menyelia 100 hingga 150 bedah siasat setiap tahun, selain kerap dipanggil menjadi saksi pakar di Mahkamah Majistret, Sesyen dan Tinggi di Sabah serta Labuan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






