Inkues Zara Qairina: Pakar patologi tolak kemungkinan jatuh tidak sengaja
KOTA KINABALU – Mahkamah Koroner di sini diberitahu bahawa kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir berkemungkinan besar berpunca daripada tindakan jatuh atas kerelaan sendiri, bukan akibat kemalangan atau ditolak.
Pakar patologi forensik, Bhupinder Singh Jeswant Singh berkata, dapatan itu dibuat berdasarkan analisis forensik yang tidak menunjukkan sebarang tanda pergelutan atau penggunaan daya luar dalam kejadian berkenaan.
“Saya menolak kemungkinan berlakunya jatuh secara tidak sengaja atau akibat ditolak. Berdasarkan dapatan, besar kemungkinan mangsa jatuh atas kerelaan sendiri,” katanya ketika memberi keterangan pada prosiding inkues, di sini, hari ini.
Menurut beliau, kesimpulan itu disokong oleh corak kecederaan, bukti perubatan serta rekonstruksi kejadian di lokasi.
“Tiada bukti menunjukkan mangsa dipegang atau dicampak, sebaliknya berkemungkinan mangsa telah memanjat atau melintasi palang penghadang sebelum terjatuh,” katanya lagi.
Beliau berkata, kecederaan pada tulang tumit (kalkaneus) menunjukkan mangsa mendarat dengan kaki terlebih dahulu, sebelum daya hentakan menyebabkan kecederaan lain dan mangsa rebah ke belakang sehingga kepala terhentak di bahagian tepi longkang.
“Saya tidak ragu bahawa jika tiada kecederaan pada kepala, kita tidak akan berada di sini hari ini,” katanya lagi.
Tambahnya, dapatan itu selari dengan keterangan pakar dari Hospital Queen Elizabeth yang sebelum ini menyatakan kecederaan mangsa konsisten dengan jatuh dari tempat tinggi.
Dalam pada itu, beliau mengakui pakaian biasanya menjadi elemen penting dalam analisis forensik, namun ketiadaannya dalam kes ini tidak menjejaskan keseluruhan dapatan kerana bukti lain mencukupi untuk menyokong kesimpulan.
Untuk rekod, Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya.
Prosiding inkues berkenaan dijangka bersambung esok.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








