JENAYAH & MAHKAMAH

Inkues Zara Qairina: Saksi dedah kewujudan kumpulan pelajar digelar ‘Circle 19’

KOTA KINABALU – Prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner, di sini hari ini mendedahkan maklumat baharu apabila seorang saksi memberitahu tentang kewujudan sebuah kumpulan pelajar yang dikenali sebagai ‘Circle 19’.

Peguam mewakili ibu Allahyarhamah, Shahlan Jufri berkata, saksi ke-13 mengakui kumpulan itu terdiri daripada 19 pelajar yang merupakan rakan rapat sejak sekian lama.

“Kami tanya sama ada dia tahu pasal geng ‘Circle 19’ ini. Dia jawab tahu, malah menyebut nama-nama yang terlibat.

“Jumlahnya 19 orang dan kumpulan itu merupakan kawan-kawan rapat sejak dahulu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar mahkamah.

Menurut Shahlan, saksi terbabit turut menyatakan bahawa pada subuh 16 Julai lalu, dia sempat melihat Zara dalam keadaan terbaring berhampiran rumah warden asrama sekolah terbabit sebelum mangsa dibawa ke hospital.

hamis ismail
Shahlan (kiri) bersama Hamid Ismail yang mewakili keluarga Allahyarhamah Zara Qairina (gambar kecil).

Katanya lagi, ketika ditanya lanjut mengenai kumpulan itu, saksi mengesahkan kewujudan 19 ahli malah menyebut nama seorang demi seorang ketika disoal.

“Saksi ini juga mengakui dirinya sebahagian daripada ‘Circle 19’. Kesemua 19 pelajar ini adalah rakan rapat.

“Itulah nama yang mereka gunakan sendiri sebagai identiti kumpulan tersebut,” jelasnya memetik laporan Astro Awani.

Shahlan turut memaklumkan bahawa antara individu yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Zara pada malam sebelum kejadian didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan berkenaan.

Prosiding inkues di hadapan Hakim Koroner, Amir Shah Amir Hassan itu akan bersambung pada sesi berikutnya.

Allahyarham Zara ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada keesokan harinya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button