Inkues Zara Qairina: Saksi ahli kimia dijangka hurai kesahihan diari arwah
KOTA KINABALU – Prosiding inkues kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner di sini, dijangka bersambung hari ini dengan keterangan seorang ahli kimia sebagai saksi kedua.
Sumber memaklumkan, saksi dari Jabatan Kimia itu dipanggil untuk memberi penjelasan berhubung kesahihan sebuah diari yang didakwa milik arwah yang sebelum ini diserahkan kepada pihak polis sebagai bahan bukti, memetik laporan Berita Harian.
Peguam mewakili ibu arwah, Mohd Sharulnizam Mohd Salleh berkata, kehadiran saksi berkenaan dijangka selepas Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu, menamatkan keterangan beliau pada Khamis lalu.

Dr Jessie memberi keterangan selama dua hari mengenai hasil bedah siasat serta pemeriksaan di lokasi penemuan arwah sebelum prosiding ditangguhkan.
Selain peguam ibu arwah, peguam kepada seorang daripada lima tertuduh kanak-kanak dalam kes buli berkaitan, Datuk Ram Singh turut mengaitkan dokumen tersebut dengan kemungkinan memberi petunjuk penting mengenai punca kematian Zara Qairina.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini di Dewan Rakyat turut mendedahkan mengenai penemuan diari setebal 51 halaman yang menurutnya mengandungi luahan hati dan catatan peribadi arwah sebelum kejadian.
Kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) memberitahu, inkues yang berlangsung sepanjang September ini akan memanggil 68 saksi terdiri daripada pakar perubatan, ahli kimia, guru, pelajar sekolah, polis serta ibu bapa arwah dan lima remaja tertuduh di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Mahkamah Koroner juga dijadualkan turun padang ke lokasi arwah ditemui tidak sedarkan diri sebelum ini bagi menilai keadaan tempat kejadian.
Inkues berkenaan diadakan atas permintaan ibu arwah, Noraidah Lamat yang menuntut penjelasan tuntas mengenai punca sebenar kematian anaknya selepas dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan otak serius di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








