JENAYAH & MAHKAMAH

Inkues Zara Qairina: Allahyarham menangis, nafi mencuri

KOTA KINABALU – Mahkamah Koroner hari ini diberitahu Allahyarham Zara Qairina Mahathir menangis dan menafikan mencuri setelah dituduh melakukan perbuatan itu di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan, Papar sebelum kali terakhir dilihat menuju ke tandas.

Saksi kelapan inkues berkenaan, Azhari Abd Sagap, 31, berkata, dia menerima salinan imbasan pengakuan bertulis daripada lima pelajar asrama terbabit berhubung kejadian itu.

Beliau yang juga ketua warden asrama itu berkata, dokumen itu ditulis selepas dia mengarahkan warden asrama untuk menyiasat perkara itu pada 16 Julai, susulan Allahyarham Zara Qairina dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) selepas ditemui terjatuh di asrama sekolah berkenaan.

“Pada malam itu, seorang pelajar Tingkatan 1 membuat aduan kepada ketua asrama bahawa dia kehilangan barang-barangnya.

“Selepas itu, Zara dipanggil ketua asrama dan ditanya sama ada dia mencuri barang-barang itu. Dia menafikannya dan bersumpah ‘wallahi’,” katanya kepada Koroner Amir Shah Amir Hassan, hari ini.

Azhari berkata, pelajar-pelajar lain turut menggeledah lokar dan beg Allahyarham dan menemukan pin Jalur Gemilang milik ketua asrama.

Sekali lagi, Zara Qairina menafikan mengambilnya.

“Selepas itu, Zara meninggalkan bilik sambil menangis dan menjerit, ‘Aku tidak mencuri bah, bodoh’. Saya diberitahu perkara ini oleh seorang pelajar Tingkatan 1.

“Dia keluar dari bilik dalam keadaan menangis dan menuju ke tandas. Itu adalah kali terakhir pelajar-pelajar melihatnya,” katanya.

Saksi inkues hari ini, Azhari, mengajar Bahasa Arab dan Kemahiran al-Quran sejak Jun 2020 di sekolah terbabit.

Pada Februari lalu, beliau turut dilantik sebagai ketua warden asrama yang bertanggungjawab ke atas bangunan asrama sekolah itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button