BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Kertas siasatan Zara Qairina dikemuka semula ke AGC esok

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengemukakan semula kertas siasatan berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, ke Pejabat Peguam Negara (AGC) esok bagi mendapatkan arahan seterusnya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar memaklumkan, sehingga kini sebanyak 195 individu telah diambil keterangan oleh Pasukan Khas JSJ.

“Mereka terdiri daripada pelajar, guru, pegawai perubatan, warden, pengawal keselamatan, ibu bapa serta saksi lain yang berkaitan dengan kes ini,” jelasnya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Kumar, tumpuan siasatan melibatkan dua aspek utama iaitu prosiding inkues dan kemungkinan wujud unsur jenayah lain termasuk kes buli serta penyebaran maklumat palsu.

Beliau dalam pada itu mengingatkan masyarakat agar tidak menimbulkan spekulasi atau menyebarkan naratif yang boleh mengganggu keharmonian awam.

“PDRM memberi jaminan bahawa siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus tanpa sebarang bentuk perlindungan kepada mana-mana pihak,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button