Inkues Zara Qairina: Rakan baik tinggalkan sekolah selepas kejadian
KOTA KINABALU – Seorang pelajar yang juga rakan baik kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir dilaporkan telah berpindah keluar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha beberapa minggu selepas kejadian yang menimpa pelajar itu.
Ketua warden sekolah, Azhari Abd Sagap, 31, ketika memberi keterangan berkata, individu tersebut yang dirujuk sebagai Pelajar A berada di lokasi kejadian ketika Zara ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu kira-kira pukul 3 pagi.
“(Pada 16 Julai) saya minta Pelajar A datang selepas membaca mesej daripada ibunya. Saya tidak ingat waktu sebenar (saya memanggilnya), tetapi ia berlaku sebelum ambulans tiba.
“Pelajar A memang melihat Zara,” katanya ketika disoal balas oleh peguam Pelajar A, Joan Goh di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada hari ke-10 prosiding inkues, hari ini.
Azhari turut memaklumkan mesej terakhir ibu Pelajar A kepadanya diterima pada 15 Julai pukul 10.54 malam, berkaitan dompet yang hilang.
Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di sekolah pada awal pagi 16 Julai sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth.
Ditanya sama ada perpindahan Pelajar A berpunca daripada trauma selepas insiden berkenaan, Azhari berkata beliau tidak pasti mengenai sebab sebenar pelajar itu membuat permohonan menukar sekolah, memetik laporan Buletin TV3.
Mahkamah turut dimaklumkan bahawa mulai 26 Julai, ibu Pelajar A menghantar makluman cuti sakit anaknya dari 28 Julai hingga 18 Ogos.
Pada 11 Ogos, ibu pelajar itu sekali lagi menghubungi Azhari untuk memaklumkan bahawa beliau akan hadir ke sekolah bagi mengemas barang-barang anaknya dari asrama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







