Inkues Zara Qairina: Pakar patologi dedah kecederaan serius dialami mangsa
KOTA KINABALU – Prosiding inkues hari pertama kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, semalam, menyaksikan keterangan pakar patologi, Dr Jessie Hiu, menarik perhatian umum selepas beliau memperincikan kecederaan serius dialami mangsa.
Dr Jessie, 58, yang menjalankan bedah siasat ke atas Zara Qairina berkata, pemeriksaannya mendapati terdapat kecederaan teruk di beberapa bahagian tubuh termasuk kepala, otak, tulang belakang serta anggota tangan dan kaki.
Berikut ringkasan kecederaan seperti dinyatakan beliau di Mahkamah Koroner, semalam:
1. Koyakan dijahit di bahagian belakang kepala tanpa patah tulang tengkorak atau muka.
2. Kecederaan otak kritikal dengan perubahan cair akibat pereputan, tidak dapat dinilai sepenuhnya.
3. Lebam di bawah lengan kiri, pergelangan tangan kiri, tangan kiri dan jari kelima kiri; patah tulang radius distal kiri; terkehel sendi pergelangan tangan.
4. Lebam di buku lali, patah berbilang tulang tibia distal kanan pada sendi buku lali; koyakan pada kaki kiri; lebam di buku lali kiri; patah berbilang di kaki kiri.
5. Distal tibia kiri hancur dan senget; patah berbilang tulang calcaneum kiri; terkehel sendi buku lali kiri.
6. Patah tulang vertebra lumbar kedua hingga keempat (bahagian bawah tulang belakang).
7. Hematoma pada otot psoas kiri serta tisu pelvis retroperitoneum.
8. Lecetan kecil di lengan bawah kiri belakang dan di siku kiri tanpa kecederaan tisu subkutaneus, otot atau tulang di bawahnya.
9. Kesan ubat Phenytoin (anti-sawan) dikesan pada tisu buah pinggang.
Dr Jessie, yang berkhidmat di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu sejak 1998, memiliki ijazah perubatan dari Universiti Sains Malaysia (1991) serta Ijazah Sarjana dalam bidang patologi dari Universiti Malaya (1998).
Beliau juga ahli Persatuan Perubatan Malaysia, Malaysian Society of Forensic Medicine and Science serta Indo-Pacific Association of Law, Medicine and Science.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








