POLITIK

Pertukaran kerajaan boleh jejaskan momentum ekonomi Negeri Sembilan – Faiz Fadzil

SEREMBAN – Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH), Faiz Fadzil menegaskan setiap undi kepada UMNO-PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan esok berisiko menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi negeri itu.

Beliau berkata, rekod pencapaian pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sejak mengambil alih kerajaan negeri pada 2018 menunjukkan peningkatan ketara dalam aspek ekonomi, pelaburan serta kedudukan kewangan negeri.

Menurutnya, saiz ekonomi Negeri Sembilan berkembang daripada RM45.7 bilion kepada RM55.8 bilion pada 2025, iaitu pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri tertinggi dalam sejarah.

“Pada 2025 juga, Negeri Sembilan mencatatkan pelaburan diluluskan tertinggi sebanyak RM19.1 bilion, jauh melepasi sasaran awal RM10 bilion,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Faiz berkata, sepanjang tempoh 2021 hingga 2025, negeri itu merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM51.1 bilion yang dijangka menjana lebih 19,000 peluang pekerjaan termasuk pekerjaan berkemahiran tinggi.

Beliau turut memaklumkan sebanyak RM22.9 bilion pelaburan asing berjaya dibawa masuk ke Negeri Sembilan dalam tempoh sama menerusi kerjasama kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, peningkatan aktiviti ekonomi turut menyumbang kepada lonjakan kutipan hasil negeri daripada RM413 juta pada 2017 kepada RM785 juta pada 2025, selain mencatatkan lebihan pendapatan selama empat tahun berturut-turut.

“Lebih membanggakan, rizab tunai negeri buat pertama kali melepasi paras RM1 bilion dengan jumlah RM1.035 bilion,” katanya.

Dalam pada itu, Faiz berkata kesinambungan pentadbiran PH penting bagi memastikan pelaksanaan projek Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) yang melibatkan enam zon ekonomi bagi memacu industri bernilai tinggi.

Beliau berkata, KDNK Negeri Sembilan dijangka meningkat hampir dua kali ganda menjelang 2040, namun pencapaian itu bergantung kepada hala tuju kerajaan negeri yang memahami keperluan pelabur, sektor perniagaan dan rakyat.

“Pertukaran kerajaan berisiko menggugat prospek kemajuan ekonomi negeri, terutama jika pentadbiran baharu tidak memberi keutamaan kepada tadbir urus baik dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button