BERITA SEMASA

Solidariti Zara Qairina: ‘Kalau ada pihak mahu berpolitik, jangan suruh datang’

KOTA KINABALU – Peguam keluarga pelajar Tingkatan Satu, Tingkatan Satu, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Allahyarham Zara Qairina Mahathir mengingatkan semua pihak supaya tidak mencemari perhimpunan solidariti untuk Allahyarham dengan agenda politik

Peguam, Hamid Ismail berkata, program solidariti yang diadakan adalah untuk menuntut keadilan bagi arwah.

“Kalau ada pihak mahu berpolitik, jangan suruh datang. Kita semua berkumpul untuk Zara, bukan untuk mana-mana parti politik,” katanya selepas sebutan inkues kematian Allahyarham Zara Qairina di Mahkamah Koroner, di sini hari ini.

Hamid berkata demikian ketika diminta mengulas beberapa insiden perhimpunan solidariti untuk Allahyarham Zara Qairina yang dicemari unsur politik hingga mendapat kecaman orang ramai.

Beliau pada masa yang sama turut memberi peringatan tegas kepada pempengaruh media sosial, supaya tidak menakut-nakutkan saksi atau menyebarkan cerita palsu berkaitan kes kematian Zara.

“Terdapat saksi terutama pelajar yang enggan tampil kerana bimbang dengan ugutan netizen dan beberapa individu di media sosial.

“Saya menggalakkan orang ramai tampil kepada polis atau secara terus dengan saya. Kepada pempengaruh (influencers) jangan menakut-nakutkan saksi.

“Dalam mencari keadilan, jangan sampai memfitnah atau mengugut orang lain,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau berkata ibu Zara Qairina berbesar hati dengan jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan tiada sesiapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Ibu Zara sangat gembira apabila Perdana Menteri beri jaminan tidak ada orang yang akan terlepas daripada tindakan dan dakwaan pihak berkuasa.

“Saya ada bercakap dengan ibu Zara mengenai isu ini, dan dia sangat gembira serta memohon kepada semua saksi yang ada supaya tidak takut terutama pelajar.

“Jangan takut tampilkan diri, kalau takut kepada polis, jumpa kami (peguam),” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button