Kes kematian Syamsul Haris: Tiga jurulatih PALAPES mengaku tidak bersalah
KOTA TINGGI – Tiga jurulatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang pelatih tahun lalu.
Tertuduh ialah Mejar Mohd Azmi Abu Bakar, 40; Kapten Muhammad Bahauddin Ab Rasid, 30; dan Pegawai Waran Mohd Norbuangani Mislan, 41.
Pengakuan itu dibuat sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan, memetik laporan Buletin TV3.
Mereka secara bersama didakwa melakukan perbuatan dengan niat mendatangkan kecederaan yang boleh membawa maut terhadap pelatih PALAPES Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Syamsul Haris Shamsudin.

Kesalahan didakwa dilakukan di Lapang Sasar Ulu Tiram Utara, antara pukul 2 hingga 3 petang, pada 28 Julai tahun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Ab Latif memaklumkan mahkamah bahawa kesalahan di bawah Seksyen 304(a) tidak boleh dijamin.
Namun, pihak pendakwaan yang turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Afiqah Musa mencadangkan jaminan RM50,000 setiap seorang sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan.
BACA JUGA:
UTM beri kerjasama sepenuhnya siasatan kematian Allahyarham Syamsul Haris
Peguam keluarga desak inkues kematian Allahyarham Syamsul Haris
Kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah jaminan lebih rendah atas alasan mempunyai tanggungan keluarga.
Mahkamah pada awalnya membenarkan jaminan RM25,000 setiap seorang dengan seorang penjamin serta mengarahkan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah turut menetapkan 13 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan lantikan peguam, serahan dokumen dan kehadiran peguam pemerhati mewakili keluarga mangsa.
Selepas prosiding selesai, Mohd Azmi tiba-tiba bersuara memohon pengurangan jumlah jaminan dengan alasan telah berkhidmat lebih 20 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tanpa sebarang rekod disiplin.
“Kami sudah berkhidmat lebih 20 tahun, kami tidak pernah dihadapkan ke mahkamah.
“Sebagai penjawat awam, kami bekerja dengan ikhlas, siang malam jaga kadet kami. Kami ada anak isteri. Kami akan pastikan kami akan hadir ke mahkamah, itu janji kami,” katanya.
Hakim bagaimanapun menegaskan pertuduhan yang dihadapi mereka adalah serius, namun bersetuju menurunkan jumlah jaminan kepada RM20,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








