Pekebun warga emas didakwa bunuh tiga individu termasuk wanita Vietnam
KOTA TINGGI – Seorang pekebun warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas tiga pertuduhan membunuh membabitkan dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam dalam kejadian minggu lalu.
Tertuduh, Lim Lian, 71, bagaimanapun tidak membuat sebarang pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar dalam bahasa Mandarin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Wong Poh Soon, 61, Chen Kwai Hwa, 64, serta Tran Thi Trang, 37, di sebuah restoran di Jalan Delima, Taman Kota Jaya kira-kira jam 1.30 petang, 19 April lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Eizlan Azhar, manakala tertuduh diwakili peguam, Belinda Low.
Kes dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 13 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tidak membenarkan sebarang jaminan.
Terdahulu, tertuduh tiba di mahkamah kira-kira jam 9.15 pagi dengan diiringi anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.
Media sebelum itu melaporkan, tiga mangsa maut selepas ditembak menggunakan senapang patah, dengan motif kejadian dipercayai berkaitan hutang berjumlah RM50,000.
Tertuduh yang dilaporkan memiliki lesen sah senjata api itu ditahan kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian sebelum direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








