Pengawal keselamatan didakwa bunuh rakan dalam pergaduhan di Sentul
SENTUL – Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki dalam kejadian pergaduhan di tepi jalan di Taman Intan Baiduri, dua bulan lalu.
Tertuduh, K. Nagentherah, 39, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret M. S. Arunjothy.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh K. Kumaran, 44, pada pukul 9.23 malam 25 Mei lalu di lokasi kejadian di tepi jalan Taman Intan Baiduri, Sentul.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 10 September depan untuk sebutan kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Superintendan Mohd Yunus Daud, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pengawal keselamatan maut ditetak dalam kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham antara rakan.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada pukul 9.23 malam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








