Peniaga didakwa samun barang kemas wanita Myanmar
BUTTERWORTH – Seorang peniaga berusia 41 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret hari ini atas dua pertuduhan iaitu melakukan samun barangan kemas terhadap seorang wanita warga Myanmar dan mencabul kehormatan mangsa dalam kejadian yang berlaku awal bulan ini.
Tertuduh, Lee Chun Yong, bagaimanapun mengaku tidak bersalah setelah kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nor Azah Kasran dan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.
Mengikut pertuduhan di Mahkamah Sesyen, Chun Yong didakwa menyamun seorang wanita warga Myanmar dengan melarikan pelbagai barangan kemas termasuk 10 cincin, lima utas rantai tangan, dua pasang subang, dua rantai leher, dua telefon bimbit jenama iPhone dan Oppo serta wang tunai RM200 bersama kad mesin pengeluaran automatik (ATM).
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di dalam kereta yang diletakkan di tepi jalan Lorong Aman, Telok Air Tawar pada pukul 7 malam, 6 Julai lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan di Mahkamah Majistret pula, Chun Yong didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa dengan niat mencabul kehormatannya pada masa dan lokasi yang sama.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda, sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.
Tertuduh dibenarkan diikat jamin bagi kedua-dua pertuduhan dengan jumlah keseluruhan RM11,000 dengan seorang penjamin.
Selain itu, beliau diminta untuk melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 19 Ogos depan untuk sebutan semula bagi kedua-dua kes.
Memetik laporan Buletin TV3, kes itu menarik perhatian ramai kerana kejahatan yang melibatkan jenayah seksual dan samun ke atas mangsa yang juga seorang warga asing.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







