JENAYAH & MAHKAMAH

Kes kematian Syamsul Haris: Keluarga tuntut siasatan menyeluruh, bawa individu terlibat ke muka pengadilan

KUALA LUMPUR – Keluarga pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin menuntut siasatan menyeluruh dilaksanakan segera setelah Jabatan Peguam Negara (AGC) mengklasifikasikan semula kematiannya sebagai kes bunuh.

Peguam keluarga, Datuk Naran Singh berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu memastikan semua individu yang terlibat dalam insiden itu segera dibawa ke muka pengadilan.

Menurutnya, siasatan perlu dilakukan dari semua sudut bagi menentukan punca sebenar kematian pelatih berusia 22 tahun itu.

“Pihak keluarga terutamanya ibu mangsa berpuas hati dengan keputusan AGC.

“Keluarga berharap siasatan dapat dijalankan segera dan pelaku menerima tindakan sewajarnya,” katanya memetik laporan Buletin TV3.

Tambah beliau, siasatan juga perlu merangkumi kemungkinan terdapat cubaan menyembunyikan maklumat berkaitan kematian Syamsul Haris khususnya membabitkan laporan bedah siasat pertama.

Beliau menegaskan, wujud percanggahan ketara apabila bedah siasat di Hospital Kota Tinggi sebelum ini melaporkan tiada kecederaan pada tubuh mangsa, sedangkan bedah siasat kedua yang dilakukan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengesahkan kematian berpunca daripada kecederaan traumatik pada leher.

Dapatan itu disahkan pakar forensik HKL, Dr Siew Sheue Feng.

“Siasatan dan keterangan juga perlu diambil daripada dua doktor yang menjalankan bedah siasat kali pertama di Hospital Kota Tinggi memandangkan terdapat percanggahan maklumat,” katanya.

Beliau turut menuntut siasatan mengenai bagaimana maklumat tidak tepat itu disampaikan sehingga Menteri Pertahanan dan Panglima Angkatan Tentera dimaklumkan bahawa tiada kecederaan pada tubuh mangsa.

Selain itu Naran berkata, Menteri Kesihatan perlu mendapatkan penjelasan daripada pegawai perubatan yang melakukan bedah siasat pertama termasuk sebab laporan awal menyatakan penemuan bergantung kepada siasatan makmal.

Semalam, AGC mengarahkan kes kematian Syamsul Haris diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574), berdasarkan laporan siasatan PDRM.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar memaklumkan polis sedang mengenal pasti individu yang bertanggungjawab menyebabkan kematian pelatih berkenaan.

Allahyarham Syamsul Haris meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai lalu selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram.

Pada 26 Ogos, Mahkamah Tinggi mengarahkan kuburnya digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dilakukan sebelum proses itu dijalankan di HKL pada 30 Ogos.

Laporan bedah siasat kedua diterima keluarga pada 28 November lalu mengesahkan punca kematian akibat kecederaan pada leher.

Naran memaklumkan, beliau akan hadir ke Mahkamah Tinggi Shah Alam, Jumaat ini bagi proses perbicaraan untuk mendapatkan laporan bedah siasat pertama.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button