Peguam keluarga desak inkues kematian Allahyarham Syamsul Haris
KUALA LUMPUR – Peguam keluarga kepada pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Syamsul Haris Shamsudin menggesa inkues segera dilaksanakan bagi menyiasat punca kematian anak guamnya selepas bedah siasat kedua semalam menemukan kesan kecederaan mencurigakan pada jasad Allahyarham.
Datuk Naran Singh Ara Singh berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan secara menyeluruh semalam menunjukkan terdapat kecederaan yang perlu disiasat dengan lebih mendalam.

“Bedah siasat kedua bermula pukul 9 pagi dan selesai kira-kira pukul 4 petang. Setiap bahagian tubuh diperiksa secara teliti termasuk melalui imbasan CT scan.
“Memandangkan ada kecederaan mencurigakan, saya dengan hormatnya memohon Peguam Negara (Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar) dan Ketua Polis Negara (Datuk Seri Mohd Khalid Ismail) mengambil tindakan segera dengan melaksanakan inkues kematian ini tanpa berlengah.
“Kami juga mahu KPN menjalankan siasatan lebih serius untuk mengenal pasti punca kecederaan dan bagaimana ia boleh berlaku,” katanya kepada pemberita di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur, semalam.
Sehubungan itu, Naran Singh menegaskan keperluan inkues bagi menjawab persoalan bagaimana kecederaan tersebut dialami, siapa yang bertanggungjawab serta memastikan pihak terlibat diheret ke muka pengadilan.
“Ibunya telah kehilangan seorang anak dan rakyat juga menuntut keadilan. Kami harap Peguam Negara akan memberi maklum balas terhadap permohonan inkues pada Selasa ini.
“Jika tidak, kami akan membuat permohonan sekali lagi di Mahkamah Shah Alam,” katanya, memetik laporan Berita Harian.
Mengulas mengapa bedah siasat pertama tidak menemui kecederaan yang kini dikenal pasti, beliau menyerahkan perkara itu untuk dijawab oleh pakar perubatan.
Menurutnya, keluarga Allahyarham berpuas hati dengan pelaksanaan bedah siasat kedua yang dijalankan.
Terdahulu, pada 19 Ogos lalu, ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, memohon kebenaran menggali semula kubur bagi membolehkan bedah siasat kedua dilakukan serta mencadangkan prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian anaknya.
Allahyarham Syamsul Haris, penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor, dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram.
Jenazahnya dikebumikan pada 29 Julai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu, Semenyih, Selangor.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

