UTM beri kerjasama sepenuhnya siasatan kematian Allahyarham Syamsul Haris
JOHOR BAHRU – Pihak Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan kes kematian kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Allahyarham Syamsul Haris Shamsuddin yang diklasifikasi semula sebagai kes bunuh.
UTM dalam satu kenyataan hari ini menegaskan, institusi itu tidak akan melindungi sesiapa, sekali gus menunjukkan komitmen kukuh untuk memastikan siasatan kali ini dijalankan secara menyeluruh tanpa sebarang ‘titik gelap’ yang tercicir.
“UTM berpegang kepada prinsip ketelusan dan kedaulatan undang-undang. Segala urusan siasatan kami serahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“UTM juga mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan memohon semua pihak termasuk warga universiti dan orang awam, tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan yang sedang berlangsung,” kata kenyataan tersebut.
Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan kes kematian Allahyarham Syamsul Haris diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574).
Keputusan itu dibuat berpandukan laporan siasatan dibuka PDRM ke atas kematian Allahyarham.
Allahyarham Syamsul Haris, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi 28 Julai lalu selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat di Ulu Tiram sebelum dikebumikan keesokannya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor.
Pada 30 Ogos lalu, bedah siasat kedua terhadap jasad Allahyarham Syamsul Haris dilaksanakan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan jenazah dikebumikan semula di tanah perkuburan berkenaan pada hari sama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






