BERITA SEMASA

MEDIU umum barisan kepimpinan akademik baharu

KUALA LUMPUR – Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU), mengukuhkan reputasinya sebagai institusi pengajian tinggi antarabangsa dengan memperkenalkan barisan kepimpinan akademik baharu.

Menurut Naib Canselor MEDIU, Dato Dr. Alhazmi Saeed Nowifea S., beliau optimis MEDIU mampu melahirkan graduan holistik yang seimbang dari segi fizikal, spiritual dan intelektual, serta mampu menyumbang secara signifikan kepada masyarakat global.

“Pelantikan ini diyakini akan memperkukuh lagi jenama MEDIU di persada antarabangsa, selaras dengan peranan Malaysia sebagai hab pendidikan Islam serantau,” katanya.

Majlis pengumuman pelantikan tersebut disempurnakan oleh Dato Dr. Alhazmi Saeed Nowifea S. di kampus utama universiti tersebut di ibu negara semalam.

Baca juga : MEDIU tawar biasiswa khas kepada pelajar Malaysia

Antara tokoh utama yang diumumkan menyertai barisan pentadbiran akademik tertinggi MEDIU
ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik, Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha; Penolong kepada Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Fatimah Ahmad serta Dekan Fakulti Teknologi Maklumat, Profesor Dr. Abdullah Mohd Zin.

Barisan kepimpinan baharu ini secara keseluruhannya membawa lebih 40 tahun purata pengalaman dalam dunia akademik dan pernah menerajui pelbagai institusi pengajian tinggi terkemuka dalam negara.

Turut menyokong kepimpinan akademik ini ialah seorang pendaftar kanan berpengalaman, yang telah berkhidmat lebih 12 tahun di MEDIU dan memiliki lebih 15 tahun pengalaman dalam sektor pendidikan tinggi.

Selain itu, urusan perundangan dan tadbir urus strategik universiti diperkuatkan dengan Penasihat Undang-Undang MEDIU, Syed Hashim Ahmad Al-Qudsi yang berpengalaman luas dalam bidang guaman, pengurusan sumber manusia dan akademik.

MEDIU
Timbalan Naib Canselor (Akademik, Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Kamal Nasharuddin
Mustapha ketika menyampaikan ucapan pada majlis pengumuman kepimpinan akademik baharu MEDIU. – Foto
Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Dalam majlis yang sama, Dr Kamal turut memperkenalkan visi, misi dan nilai teras baharu MEDIU, yang bakal menjadi asas kepada hala tuju strategik universiti dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.

Menurut beliau, visi baharu universiti itu adalah untuk menjadi sebuah institusi bertaraf dunia yang berbakti kepada kemanusiaan melalui kemajuan ilmu pengetahuan.

Sementara itu, misi universiti pula memberi penekanan kepada penyampaian pendidikan berkualiti tinggi yang menggalakkan kerjasama antara budaya dan komuniti global, dengan matlamat melahirkan individu yang holistik, beretika serta bertanggungjawab sosial.

MEDIU sebagai hab pendidikan Islam bertaraf global

Dengan hampir 90 peratus tenaga pengajar antarabangsa, MEDIU menjadi antara institusi pengajian tinggi yang unik dan berdaya saing, khususnya dalam memartabatkan pengajian Islam serta bidang teknologi maklumat melalui pendekatan digital dan antarabangsa.

Sehingga kini, MEDIU terus menarik minat pelajar dari pelbagai negara yang memilih model pembelajaran fleksibel secara atas talian mahupun bersemuka.

Komitmen universiti untuk membina modal insan yang seimbang dan berkualiti kini diperkuat dengan kehadiran barisan kepimpinan yang berpandangan jauh dan berdaya saing.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button