BERITA SEMASA

MEDIU tawar program asasi, umrah percuma bagi pengambilan September tahun ini

KUALA LUMPUR – Universiti Islam Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU) terus komited memperkasa pendidikan tinggi Islam di Malaysia dengan menawarkan pelbagai insentif istimewa sempena pengambilan September tahun ini, termasuk program asasi percuma.

Menurut Naib Canselor MEDIU, Dato Dr. Alhazmi Saeed Nowifea S., tawaran itu turut disertakan dengan peluang menunaikan umrah kepada pelajar baharu, khususnya bagi menarik lebih ramai pelajar tempatan menyertai universiti berkenaan.

“Inisiatif ini bukan sahaja satu penghargaan kepada masyarakat Malaysia atas sokongan berterusan mereka, tetapi juga satu peluang keemasan kepada pelajar untuk mendapatkan pendidikan Islam bertaraf antarabangsa tanpa perlu ke luar negara,” katanya.

MEDIU
Barisan kepimpinan akdemik baharu MEDIU terdiri daripada tokoh akademik berwibawa dan profesional berpengalaman yang diyakini mampu memacu agenda pembangunan akademik. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sempena majlis pengumuman kepimpinan akademik baharu MEDIU yang turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Akademik, Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha di ibu negara semalam.

Baca juga : MEDIU umum kepimpinan akademik baharu

Sementara itu, Dr. Kamal berkata, program Asasi percuma itu turut bertujuan membantu pelajar lepasan sekolah menengah memulakan pengajian tinggi tanpa beban kewangan yang tinggi.

Beliau berkata, bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda, MEDIU menawarkan pakej lawatan pendidikan dan kerohanian percuma ke Arab Saudi.

“Pakej ini merangkumi kursus bahasa Arab secara langsung di negara penuturnya, memberi pelajar kelebihan dalam penguasaan bahasa.

MEDIU
Timbalan Naib Canselor (Akademik, Penyelidikan dan Inovasi) MEDIU, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha . – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

“Pelajar juga akan didedahkan kepada pengalaman meneroka budaya Arab, sekali gus memperluas perspektif global dan pemahaman silang budaya yang penting dalam konteks pendidikan Islam kontemporari.

“Setiap pelajar yang terlibat juga berpeluang untuk menunaikan Umrah, menjadikan pengalaman ini bukan sahaja akademik, tetapi turut memperkayakan aspek rohani dan peribadi,” katanya.

Sementara itu, Dr. Alhazmi berkata, semua tawaran ini tertakluk kepada terma dan syarat yang telah ditetapkan dan bertujuan menjadikan pendidikan Islam lebih mudah diakses, fleksibel dan berdaya saing di peringkat global.

Jelas beliau, pelajar tidak perlu lagi ke luar negara untuk mendapatkan pendidikan Islam yang berkualiti memandangkan MEDIU telah membawa masuk tenaga pengajar bertaraf dunia serta sumber akademik antarabangsa ke Malaysia.

“Dengan adanya tenaga pakar, fasiliti canggih dan sistem pembelajaran moden, kami mahu menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan Islam yang boleh diakses oleh semua,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button