PENDAPATRENCANA

Undi pos bagi warga Borneo di Semenanjung rapatkan jurang demokrasi

'Demokrasi tidak harus bergantung kepada siapa yang mampu membeli tiket penerbangan pulang'

HAK mengundi merupakan batu asas kepada sistem demokrasi. Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak setiap warganegara yang berdaftar sebagai pemilih untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya.

Namun begitu, bagi sebilangan rakyat Malaysia, janji ini masih belum menjadi kenyataan. Ribuan rakyat Sabah dan Sarawak yang tinggal sementara di Semenanjung Malaysia atas urusan kerja, pengajian atau keluarga mendapati diri mereka terputus daripada akses untuk mengundi.

Mereka kekal sebagai pemilih berdaftar di kawasan asal masing-masing tetapi untuk pulang mengundi semasa pilihan raya negeri melibatkan kos yang tinggi, memakan masa dan kurang praktikal.

Sekitar 60 peratus daripada keluasan tanah Malaysia terletak di Borneo (Sabah dan Sarawak), walaupun kawasan tersebut hanya menempatkan kurang daripada 20 peratus populasi nasional.

Ketidakseimbangan geografi dan demografi ini telah mewujudkan dilema akses, terutamanya bagi ribuan rakyat Borneo yang bermastautin tetap atau sementara di Semenanjung.

Jarak yang memisahkan mereka tidak seharusnya menjadi alasan untuk merencatkan penyertaan dalam sistem demokrasi; sebaliknya, jurang ini mesti diatasi dengan sistem yang inklusif. Demokrasi yang matang menuntut kesaksamaan di peti undi, tanpa mengira keberadaan pengundi.

Bagaimanakah Undi Pos Berfungsi?
Proses undi pos di Malaysia dikawal oleh Akta Pilihan Raya 1958 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003. Undang-undang ini membenarkan kumpulan tertentu seperti anggota tentera, polis, petugas pilihan raya, wartawan dan rakyat Malaysia di luar negara untuk mengundi melalui pos. Peraturan 3(3) memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mewartakan kategori tambahan bagi pengundi pos.

Namun begitu, rakyat biasa yang tinggal dalam negara tetapi di luar kawasan mengundi mereka tidak termasuk dalam kategori ini. Hal ini menyebabkan ramai warga Borneo yang bekerja, tinggal, atau belajar di Semenanjung tidak mempunyai cara yang praktikal untuk mengundi melainkan pulang ke tempat asal semasa hari membuang undi.

Walaupun undang-undang tidak melarang penyertaan mereka, undang-undang masih belum disesuaikan dengan corak mobiliti rakyat Malaysia yang semakin kompleks dan jurang pembangunan antara wilayah.

Perlembagaan Persekutuan menjamin hak untuk mengundi, tetapi untuk merealisasikan hak tersebut, suatu dasar yang bersifat inklusif dan berpandangan jauh diperlukan. Sistem sedia ada memberi kesan yang tidak seimbang kepada rakyat Sabah dan Sarawak, khususnya golongan muda, pelajar, pekerja dan mereka yang berpendapatan rendah. Cadangan SPR agar pemilih mengemaskini alamat kad pengenalan mereka untuk menukar kawasan mengundi dilihat kurang mengambil kira ikatan politik dan emosi yang masih kuat dalam kalangan pengundi terhadap negeri asal mereka.

Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Selain itu, Perkara 8 Perlembagaan yang menjamin kesamarataan di sisi undang-undang juga perlu diberi perhatian. Layanan berbeza terhadap pemilih berdasarkan lokasi tanpa alasan yang munasabah menjejaskan prinsip tersebut. Peraturan pilihan raya juga seharusnya memperkukuh penyertaan, bukan menyekatnya kerana kesamarataan di sisi undang-undang juga bermakna kesamarataan di peti undi.

Kos bagi Pengundi Luar
Perbelanjaan mengundi yang tidak seimbang (asymmetrical voting expenses) merujuk kepada ketidakadilan kewangan yang ketara yang dihadapi oleh pengundi tertentu, khususnya rakyat Sabah dan Sarawak yang berada di Semenanjung. Bagi mereka, kos untuk menunaikan tanggungjawab demokrasi bukan hanya melibatkan pengangkutan tempatan, tetapi juga perbelanjaan penerbangan pergi balik yang boleh mencecah ribuan ringgit, lantas menjadikannya satu keistimewaan dan bukannya hak.

Fenomena ini secara tidak langsung seolah mengenakan “cukai” ke atas hak mengundi mereka, berbanding dengan pengundi yang tinggal berhampiran kawasan mengundi. Ketidakseimbangan kos ini bukan sahaja menjejaskan kadar keluar mengundi, terutamanya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan pelajar, tetapi juga menjejaskan prinsip kesamarataan di sisi undang-undang yang dijamin oleh Perlembagaan.

Ini belum termasuk perjalanan tambahan ke kawasan luar bandar yang bukan sekadar kesulitan kecil, tetapi menjadi penghalang utama bagi pengundi Borneo untuk pulang menunaikan tanggungjawab demokrasi mereka. Mereka terpaksa mengambil cuti kerja atau pengajian selama beberapa hari untuk urusan perjalanan dan pengundian, yang seterusnya menimbulkan kos peluang dan tekanan masa.

Apabila mengundi menjadi keistimewaan untuk segelintir, keabsahan proses demokrasi turut terjejas. Beberapa ahli Parlimen telah menyuarakan kebimbangan ini. Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, telah menggesa agar undi pos diperluaskan kepada rakyat Malaysia Sabah dan Sarawak di Semenanjung, dengan menyifatkannya sebagai langkah penting untuk menegakkan prinsip demokrasi.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, turut mempersoalkan percanggahan antara membenarkan rakyat Malaysia di luar negara mengundi melalui pos tetapi menafikan hak yang sama kepada mereka yang berada dalam negara.

Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud, mencadangkan langkah yang lebih luas termasuk pengundian dalam talian dan penubuhan pusat pengundian wilayah. NGO seperti Bersih dan Vote Wisely turut menyokong cadangan ini dan mencadangkan pendaftaran digital melalui portal MySPR, penubuhan pusat undi khas di bandar-bandar serta pelaksanaan undi pos secara rintis semasa PRN 17. Cadangan ini sejajar dengan amalan terbaik di negara-negara demokrasi matang.

Suara pemimpin dari Sabah dan Sarawak amat penting kerana mereka secara langsung sedar akan kesan kewangan dan logistik yang dihadapi oleh pengundi dari Borneo. Kesedaran dalam kalangan pemimpin Semenanjung juga sama penting agar isu perbelanjaan mengundi yang tidak seimbang (asymmetrical voting expenses) dapat dikurangkan.

Advokasi yang berterusan dari pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pemimpin politik kedua-dua wilayah dan NGO, harus menjadi asas kukuh kepada reformasi dasar pilihan raya ini.

Langkah ke Hadapan
Dari sudut perundangan, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 perlu dipinda untuk memasukkan kategori pengundi tidak hadir dalam negara. Melalui kuasa sedia ada di bawah Peraturan 3(3), SPR boleh mewartakan kategori baharu yang membolehkan rakyat Sabah dan Sarawak di Semenanjung mengundi melalui pos dan sebaliknya warga Semenanjung yang berada di Borneo.

Selain itu, SPR wajar mempertimbangkan sistem digital yang selamat untuk pendaftaran seperti integrasi MyDigital ID, penjejakan undi dan pengesahan bagi menjamin ketelusan dan integriti pilihan raya.

Penubuhan pusat pengundian awal di bandar-bandar utama yang mempunyai ramai warga Sabah dan Sarawak seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru juga boleh memudahkan akses kepada proses pengundian.

Akses yang mudah dan saksama, sistem yang boleh dipercayai serta ketelusan yang menyeluruh merupakan tiga tonggak utama yang akan mengukuhkan keabsahan proses demokrasi.

Sistem digital yang dicadangkan mestilah selamat daripada manipulasi dan mesra pengguna bagi semua lapisan masyarakat, memastikan setiap undi direkodkan, sekali gus membuktikan bahawa sistem pilihan raya Malaysia adalah inklusif dan integriti undi setiap warganegara terpelihara.

Menuju Demokrasi yang Lebih Adil
Kekangan yang dihadapi oleh pengundi Sabah dan Sarawak yang menetap di Semenanjung dan sebaliknya bukan sekadar isu pentadbiran, tetapi satu polemik besar dalam demokrasi. Hak untuk mengundi tidak seharusnya bergantung kepada geografi, kekayaan atau keupayaan bergerak.

Menjelang PRN 17 di Sabah, negara berpeluang memperbetulkan keadaan dan menjadi pemangkin kepada perlubahan dalam pilihan raya akan datang.

Sistem pilihan raya yang lebih inklusif dan progresif ialah perkembangan yang diperlukan dalam membangun demokrasi matang. SPR dan kerajaan persekutuan perlu bertindak sewajarnya dalam merealisasikan misi ini.
Penyediaan platform yang selamat, telus, dan mudah diakses, seperti perluasan undi pos kepada pengundi dalam negeri atau penubuhan pusat pengundian awal di bandar-bandar utama Semenanjung, akan memastikan penyertaan penuh rakyat Borneo.

Faktor kewangan tidak wajar menjadi benteng yang menyekat hak perlembagaan. Isu ini perlu dilihat sebagai isu keadilan demokrasi. Memperluas akses kepada undi pos akan menterjemahkan konsep demokrasi milik semua, di mana sahaja mereka berada.

Tiada rakyat yang seharusnya memilih antara mencari rezeki dan menyuarakan pendapat melalui peti undi. Apabila setiap undi dikira, perjalanan pulang menjadi pilihan, bukan kewajipan.

Oleh:
Muhammad Izwan Ikhsan
Pensyarah Fakulti Undang-undang,
Universiti Teknologi MARA, Cawangan Sabah

Azwan Ahzran Perman
Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi,
Universiti Teknologi MARA, Cawangan Sabah

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button