TVET kian jadi pilihan utama, 97 peratus graduan ILKBS berjaya dapat kerja
KAJANG – Laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) semakin mendapat tempat apabila kadar kebolehpasaran kerja graduan Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) mencecah 97 peratus pada tahun lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pencapaian itu membuktikan graduan TVET bukan sahaja mampu bersaing, malah menjadi pilihan utama industri sekali gus memberi sumbangan besar kepada pembangunan ekonomi negara.
“Diploma atau sijil yang digenggam bukan sekadar tiket untuk mencari kerja, tetapi senjata untuk mencipta peluang baharu dan membuka jalan kepada orang lain. Graduan ILKBS bukan hanya pekerja, anda juga pencipta pekerjaan,” katanya ketika merasmikan Istiadat Konvokesyen ILKBS ke-20 di Bangi Avenue Convention Centre (BACC) di sini, hari ini.

Majlis konvokesyen itu meraikan seramai 3,240 graduan pelbagai peringkat pengajian termasuk Diploma Lanjutan, Diploma, Sijil Lanjutan dan Sijil. Sesi seterusnya akan berlangsung pada 27 September di IKBN Kinarut, Sabah (171 graduan) dan 4 Oktober di Miri Marriott Resort and Spa, Sarawak (97 graduan).

Hannah turut menyampaikan tiga anugerah utama iaitu Anugerah Graduan Terbaik ILKBS 2025, Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan ILKBS 2025 dan Anugerah Khas Menteri Belia dan Sukan 2025.
Selain itu, beliau menzahirkan rasa bangga dengan kejayaan graduan ILKBS yang menyumbang pingat dalam WorldSkills ASEAN Manila 2025 emas (dandanan rambut), perak (kimpalan) dan Medallion for Excellence (pemasangan elektrik).

Pencapaian itu melengkapkan kejayaan kontinjen Malaysia yang dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan kutipan 13 emas, empat perak, tiga gangsa dan dua Medallion for Excellence.
Hannah turut berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) komited memastikan bidang TVET kekal relevan dengan kehendak industri.
“Antaranya, menaik taraf IKBN Kuala Langat sebagai Institut Kemahiran Sukan Negara (IKSN) yang menawarkan kursus baharu seperti Terapi Sukan, Urutan Sukan, Kedi Golf, Pembinaan Fasiliti Sukan, Permotoran Sukan dan Fotografi Sukan.
“KBS akan terus memperkukuh kursus TVET agar belia lebih berdaya saing dan seiring dengan perubahan teknologi terkini. Ini selari dengan Dasar Belia Malaysia (DBM) dan Model Pembangunan Belia Madani 2030,” katanya lagi.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KBS, Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu dan Pengarah Pembangunan Kemahiran Belia, Dalila Sharingat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








