Persetujuan pembangunan Kampung Sungai Baru cecah 71.95 peratus
KUALA LUMPUR – Persetujuan pemilik terhadap pembangunan semula Kampung Sungai Baru mencecah 71.95 peratus atau 236 unit bersetuju dengan projek berkenaan setakat ini, menurut Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu (PKB).
Dalam satu kenyataan berhubung soalan lazim mengenai kawasan tersebut, PKB menjelaskan,
angka itu meningkat daripada 66.77 peratus pada tahun 2020 selepas proses rundingan melibatkan pakej harmoni ditawarkan pemaju kepada penduduk yang sebelum ini enggan menandatangani perjanjian.
“Baki 28.05 peratus atau 92 unit masih belum bersetuju, dan proses pengambilan tanah hanya melibatkan mereka yang tidak menandatangani perjanjian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook semalam.
Menurut kenyataan itu, PKB mendedahkan, pemilik unit flat dan lot teres menerima tawaran pulangan sama, namun berbeza dari segi jumlah serta jenis rumah gantian berdasarkan keluasan asal unit masing-masing.
“Pemilik flat ditawarkan sebuah rumah gantian bernilai antara RM884,000 hingga RM1 juta, manakala pemilik lot teres memperoleh antara tiga hingga sembilan unit rumah gantian dengan nilai anggaran RM2.7 juta hingga RM8.1 juta, selain lebihan bayaran tunai.
“Bagi pampasan, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKPTG WPKL) menentukan jumlah berdasarkan Jadual Pertama APT 1960. Nilainya antara RM800,000 hingga RM2.9 juta untuk lot teres dan RM198,000 hingga RM350,000 bagi unit flat,” menurut kenyataan itu.
Setakat ini, semua pihak berkepentingan bagi 110 unit termasuk 37 lot teres, 72 unit flat dan satu lot pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah menerima pampasan secara berperingkat dari Februari 2022 hingga Januari 2023.
Dalam masa sama, PKB menjelaskan pihak pemilik atau penyewa yang tidak berpuas hati dengan jumlah pampasan berhak mengemukakan bantahan melalui Borang N, APT 1960 kepada JKPTG WPKL untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Sehingga kini, sebanyak 75 permohonan bantahan diterima melibatkan 13 pemilik flat dan 62 pemilik lot teres.
Walau bagaimanapun, pembangunan semula Kampung Sungai Baru tetap boleh diteruskan tanpa perlu menunggu keputusan mahkamah berhubung bantahan tersebut.
Mengenai persoalan mengapa kerajaan tidak campur tangan sejak awal projek ini dilaksanakan, PKB menjelaskan, ia merupakan inisiatif kerjasama swasta antara pemilik lot teres dan unit flat PKNS Sungai Baru dengan pihak pemaju.
Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru bertindak mendapatkan pemaju sendiri tanpa campur tangan mana-mana pihak.
Sehubungan itu, kerajaan tidak mempunyai kepentingan dalam projek berkenaan.
Kemelut pembangunan Kampung Sungai Baru mencetuskan ketegangan baru-baru ini apabila pemaju bersama bailif mahkamah melaksanakan proses pengosongan premis terlibat hingga menyebabkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















