Pekerja kontraktor digantung tugas susulan insiden pertelingkahan di Stesen Labu
KUALA LUMPUR – Pihak kontraktor Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah mengambil tindakan serta-merta menggantung tugas seorang kakitangannya yang terlibat dalam insiden pertelingkahan di Stesen Labu, Seremban, pada Selasa lalu.
KTMB dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan bahawa individu yang tular di media sosial berhubung insiden berkenaan bukanlah kakitangan syarikat itu, sebaliknya merupakan pekerja syarikat kontraktor yang dilantik bagi menjalankan perkhidmatan di stesen tersebut.
Menurut kenyataan itu, kejadian berpunca daripada gangguan perkhidmatan KTM Komuter laluan Batu Caves – Pulau Sebang selepas sebuah tren terlanggar seekor babi di kilometer 446.092 antara Batang Benar dan Labu, menyebabkan tren terkandas di laluan berkenaan.
”Susulan kejadian itu, kira-kira 300 penumpang diturunkan di Stesen Labu untuk meneruskan perjalanan menggunakan tren berikutnya.
Gangguan ini turut menyebab kelewatan perkhidmatan sehingga 125 minit daripada jadual asal.
”Bagi membantu menguruskan pergerakan penumpang di Stesen Labu, pihak KTMB turut mengarahkan beberapa kakitangan dari Stesen Seremban ke lokasi kejadian,” kata kenyataan berkenaan.
KTMB menegaskan pihak pengurusan memandang serius insiden berkenaan dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk tindakan atau tingkah laku yang tidak profesional ketika berurusan dengan penumpang.
”Tindakan penggantungan tugas itu berkuat kuasa serta-merta sementara siasatan terperinci dijalankan oleh pihak kontraktor, dan tindakan selanjutnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan tersebut.
”KTMB turut memohon maaf dan meyakinkan penumpang bahawa kerjasama rapat dengan pihak kontraktor akan terus dijalankan bagi memastikan semua kakitangan mematuhi tatacara kerja serta standard perkhidmatan yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








