ADUN diingat utamakan kepentingan rakyat, negeri atasi politik – Tuanku Muhriz
KUALA PILAH – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam supaya melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab serta sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri dalam setiap keputusan yang dibuat.
Baginda bertitah, amanah yang dipikul setiap ADUN bukan sekadar mewakili kawasan masing-masing, malah bertanggungjawab membawa suara, aspirasi, keperluan dan permasalahan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya setiap dasar, perancangan serta keputusan yang digubal benar-benar mencerminkan kepentingan rakyat.
“Kesetiaan dan komitmen kamu hendaklah sentiasa diutamakan kepada negeri dan rakyat yang diwakili mengatasi sebarang kepentingan politik dan peribadi.
“Justeru, setiap tindakan dan pertimbangan hendaklah sentiasa berpaksikan kebajikan rakyat serta kemajuan Negeri Sembilan,” titah baginda pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, di sini hari ini.
Pada istiadat tersebut, ADUN Juasseh, Datuk Ismail Lasim dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu.
Dalam pada itu, Tuanku Muhriz turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua wakil rakyat yang berjaya memperoleh mandat daripada rakyat pada PRN semalam.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada semua bekas ADUN serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang telah menabur bakti dan memberikan perkhidmatan sepanjang penggal lalu.
“Kepada calon-calon yang tidak berjaya, beta berharap mereka terus berkhidmat kepada rakyat dengan penuh dedikasi dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan pembangunan Negeri Sembilan walaupun tidak dipilih sebagai wakil rakyat,” titah baginda.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















