POLITIK

PRN Johor: Calon PH Tg Surat garis 7 tekad, mahu taraf hidup nelayan, infrastruktur Tanjung Belungkor diperkasa

TANJUNG SURAT – Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Tanjung Surat, Faizul Abdul Ghani menggariskan tujuh tekad bagi memperkasakan kawasan tersebut dengan memberikan tumpuan khusus kepada pembangunan infrastruktur, penyelesaian isu lesen nelayan, serta mempromosikan sektor eko-pelancongan.

Dalam lawatan turun padang ke Tanjung Belungkor hari ini, beliau menegaskan komitmen untuk mengangkat potensi ekonomi setempat agar tidak terus terpinggir dan memastikan kebajikan masyarakat nelayan serta penduduk tempatan terbela.

Faizul berkata, antara isu utama yang dibangkitkan penduduk ialah keperluan mendesak bagi menaik taraf jeti dan jambatan sedia ada kepada struktur yang lebih selamat serta kondusif bagi kegunaan nelayan, penduduk setempat, dan pelancong.

“Para nelayan turut menyuarakan isu berkaitan lesen. Masih ramai dalam kalangan mereka belum mendapat lesen bagi membolehkan mereka turun ke tengah laut secara berdaftar dan berdokumentasi.

“Perkara ini perlu diberi perhatian kerana ia melibatkan punca rezeki, keselamatan serta pengiktirafan terhadap kerja keras nelayan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam lawatan tinjauan itu, Faizul turut melihat keadaan jeti dan jambatan yang agak usang serta membimbangkan dari sudut keselamatan.

“Sekiranya infrastruktur ini dapat dinaik taraf dengan lebih baik dan baharu, Tanjung Belungkor berpotensi menjadi tarikan pelancongan yang lebih kukuh, khususnya dalam sektor pelancongan dan eko pelancongan,” ujarnya.

Beliau turut dimaklumkan mengenai masalah kekurangan publisiti di Tanjung Belungkor, meskipun kawasan tersebut mempunyai potensi pelancongan tinggi hasil keindahan dan keunikan semula jadinya.

Bekalan hasil laut segar yang dibawa terus dari sumbernya merupakan kekuatan utama Tanjung Belungkor yang perlu dipromosikan dengan lebih agresif bagi merancakkan ekonomi tempatan.

Dalam lawatan sama, beliau meninjau operasi pengusaha tempatan dengan menaiki bot ke rumah rakit serta kawasan penternakan ikan di perairan berkenaan.

Beliau turut berkesempatan mendapatkan hasil tangkapan ketam nipah segar pada harga berpatutan, sekali gus membuktikan potensi besar sektor ekonomi nelayan dan hasil laut setempat untuk dibangunkan.

Justeru, sektor pelancongan, ekopelancongan, hak dan lesen nelayan, serta pembangunan infrastruktur asas menjadi teras dalam tujuh tekad yang digariskan beliau bagi DUN Tanjung Surat.

Beliau juga komited untuk mengangkat potensi tempatan dan membela suara rakyat, khususnya masyarakat nelayan dan penduduk yang bergantung kepada kekuatan ekonomi setempat.

Beliau menegaskan bahawa Tanjung Belungkor tidak wajar dipinggirkan, sebaliknya perlu diberi perhatian sewajarnya sebagai komponen penting dalam pembangunan masa depan DUN Tanjung Surat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button