JENAYAH & MAHKAMAH

Didakwa 17 tuduhan pengubahan wang haram bernilai RM17.9 juta, ahli IKRAM mengaku tidak bersalah

KUALA LUMPUR – Seorang ahli Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Fakhrudin Abd Karim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas 17 pertuduhan menggunakan hasil aktiviti haram membabitkan wang berjumlah lebih RM17.9 juta.

Tertuduh berusia 57 tahun membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

“Faham, mohon bicara,” kata Fakhrudin memetik laporan BH Online.

Berdasarkan empat pertuduhan pertama, Fakhrudin didakwa melakukan pengubahan wang haram berjumlah RM10.54 juta dengan memindahkan wang yang dipercayai hasil aktiviti haram daripada akaun bank Ehsan Cares Solution ke akaun MAG Builders Sdn Bhd.

Menurut pertuduhan, wang tersebut digunakan bagi pembayaran pembinaan sebuah rumah banglo di Bandar Kundang, Gombak yang didakwa merupakan kediaman miliknya.

Tertuduh turut berdepan tiga lagi pertuduhan memindahkan wang berjumlah RM2.66 juta daripada akaun sama ke akaun kad kredit miliknya bagi tujuan pembayaran kad kredit.

Selain itu, beliau didakwa atas 10 pertuduhan lain membabitkan pemindahan wang berjumlah RM4.7 juta daripada akaun Ehsan Cares Solution ke akaun dua syarikat iaitu Wiranusa Corporation Sdn Bhd dan Promosi Mantap Sdn Bhd.

Wang tersebut didakwa digunakan untuk pembayaran beberapa kenderaan mewah termasuk Mercedes-Benz AMG S63, Range Rover SVA, Porsche 911 Carrera S, Porsche 911 Turbo S dan Toyota Alphard.

Bagi pembelian sebuah Lexus RX300 pula, pembayaran didakwa dibuat menggunakan cek daripada akaun peribadi Fakhrudin kepada akaun Aspirasi Utara Sdn Bhd.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di dua institusi perbankan di Bangsar dan Bukit Bintang, Jalan Sultan Ismail antara 6 Januari 2021 hingga 21 April 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button