BERITA SEMASA

Isu dana asing RM1.5 juta: Rafizi digesa tampil beri penjelasan

PUTRAJAYA – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli digesa tampil memberikan penjelasan berhubung dakwaan penglibatan beliau dalam aliran dana asing serta tindakan yang dianggap mengkhianati negara.

Pengerusi Biro Politik Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat, Shahbudin Embun berkata, isu ini tidak boleh dipandang remeh kerana melibatkan campur tangan asing dalam kancah politik tanah air yang secara langsung menggugat kedaulatan negara.

Justeru, beliau menggesa pihak polis agar segera menjalankan siasatan terperinci berdasarkan laporan dan bukti-bukti yang telah dikemukakan.

“Saya berharap pihak berkuasa dapat menyiasat kerana disyaki terdapat unsur pengkhianatan atau ancaman terhadap keselamatan negara di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) atau Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).

“Tindakan pihak berkuasa adalah penting demi menjaga keselamatan dan kedaulatan Malaysia daripada campur tangan asing,” katanya hari ini.

Semalam, badan bukan kerajaan itu membuat laporan polis berhubung video tular yang dikaitkan dengan Rafizi melibatkan dakwaan pengaliran dana asing melebihi RM1.5 juta daripada organisasi luar negara menerusi sebuah proksi tempatan.

“Dana tersebut didakwa digunakan untuk menggerakkan naratif radikal di media sosial dan demonstrasi jalanan atas nama demokrasi serta hak asasi manusia. Tindakan itu dipercayai mempunyai agenda tertentu,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button