Zoo Johor jelas ular bermata kelabu bukan sakit, sedang salin kulit
KUALA LUMPUR – Zoo Johor menjelaskan seekor ular yang tular di media sosial kerana kelihatan bermata kelabu dan tidak bersinar sebenarnya berada dalam keadaan normal kerana sedang melalui proses salin kulit atau ecdysis.
Penjelasan itu dibuat selepas seorang pengguna Threads, @Heynadhjwa memuat naik gambar reptilia berkenaan dan mempersoalkan sama ada ular tersebut sakit, buta atau sedang nazak.
“Ular yang ni ok ke? Kenapa mata dia nampak kelabu dan tak bersinar? Buta ke, sakit ke atau sedang mati? Tolong periksa,” ujarnya.
Hantaran itu mencetuskan perhatian ramai apabila meraih lebih 455,000 tontonan serta ribuan tanda suka dalam tempoh singkat.
Menerusi ruangan komen, pihak Zoo Johor memaklumkan keadaan mata yang kelihatan kelabu merupakan petanda biasa seekor ular sedang menjalani proses salin kulit.
“Untuk makluman, tanda-tanda mata kelabu seperti ini menunjukkan ular sedang mengalami proses salin kulit atau ecdysis.
“Proses ini adalah normal dan lazimnya mengambil masa antara satu hingga dua minggu. Kami akan terus memantau keadaan ular itu dari semasa ke semasa bagi memastikan proses tersebut berjalan dengan baik,” menurut kenyataan itu.
Susulan penjelasan tersebut, pemilik hantaran asal mengakui beliau tersilap membuat andaian kerana tidak mengetahui keadaan itu merupakan sebahagian daripada proses semula jadi yang dialami ular.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak Zoo Johor atas penjelasan yang diberikan dan mengesahkan ular berkenaan berada dalam keadaan baik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















