JENAYAH & MAHKAMAH

IPD Cheras nafi dakwaan anggota polis terima rasuah dalam video tular

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan anggotanya menerima rasuah seperti yang dipaparkan dalam satu rakaman video tular di TikTok.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asistan Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, semakan mendapati video dimuat naik pemilik akaun TikTok Kk (@mabsjmx21) yang mendakwa anggota polis menerima wang daripada seorang pemandu di tepi jalan adalah tidak tepat.

Menurut beliau, kejadian itu berlaku pada pukul 11.20 pagi di persimpangan masuk dan keluar Jalan Persiaran Jalil Utama, Bukit Jalil.

“Ketika itu, empat pegawai polis sedang menjalankan tugas Ronda Cegah Jenayah dengan mengambil tindakan saman terhadap kenderaan yang menghalang lalu lintas.

“Anggota terlibat menasihatkan pemilik kenderaan supaya mengalihkan kenderaan serta mendaftar aplikasi Volunteer Smart Phone Patrol (VSP) PDRM, selain mengambil butiran bagi tujuan rekod,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau memaklumkan dua saman telah dikeluarkan terhadap pemandu terbabit dan sebuah lagi kenderaan atas kesalahan menghalang lalu lintas.

Sehubungan itu, Mohd Rosdi menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan salah faham terhadap penugasan polis di lapangan.

“PDRM komited untuk terus memelihara integriti dan kepercayaan masyarakat terhadap institusi kepolisan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat lengkap dan sahih berhubung kejadian tersebut supaya tampil membantu siasatan.

Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/5051 atau mana-mana balai polis berhampiran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button