BERITA SEMASA

Suami arwah Nadia Kesuma nafi video tular di lapangan terbang

KUALA LUMPUR – Suami kepada pelakon Allahyarham Nadia Kesuma tampil memberikan penjelasan bagi membetulkan beberapa maklumat mengelirukan yang tular di media sosial, termasuk dakwaan kononnya wujud rakaman video menunjukkan arwah rebah di Lapangan Terbang Raja Abdul Aziz, Jeddah.

Prof. Dr. Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah menegaskan, dakwaan tersebut tidak benar dan menafikan kewujudan sebarang rakaman video seperti yang disebarkan.

Penjelasan itu dibuat menerusi satu hantaran di Facebook bagi menjelaskan fakta sebenar berhubung pemergian isterinya pada 15 Januari lalu.

Menurut beliau, pihak keluarga telah mengemukakan permohonan rasmi melalui kerajaan Malaysia kepada kerajaan Arab Saudi untuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebaik arwah dilaporkan hilang. Namun sehingga keluarga berlepas pulang ke tanah air, permohonan tersebut masih belum mendapat kelulusan.

“Bukti video itu tidak wujud buat masa ini. Kami dimaklumkan pihak berkuasa Arab Saudi mempunyai protokol, polisi dan prosedur tersendiri. Sebagai keluarga, kami sedih dan kecewa, namun menghormati amalan mereka,” katanya.

Muhammad Kamarul berkata, pihak keluarga juga tidak pernah ditunjukkan sebarang rakaman video dan tidak dimaklumkan lokasi tepat arwah rebah. Sehubungan itu, beliau menegaskan sebarang kenyataan yang menyebut lokasi khusus kejadian adalah tidak tepat.

“Apa yang diterangkan secara lisan kepada kami oleh pegawai di sana, berdasarkan rakaman CCTV, ialah arwah dibawa keluar menggunakan usungan ke ambulans dan diberikan rawatan perubatan dengan segera,” katanya.

Mengulas kekeliruan mengenai waktu kematian, beliau menjelaskan pihak keluarga dimaklumkan arwah meninggal dunia antara pukul 8.00 hingga 8.10 pagi waktu Jeddah, bersamaan pukul 1.00 hingga 1.10 tengah hari waktu Malaysia.

“Waktu kematian rasmi yang diberikan pihak hospital di Jeddah ialah pukul 8.07 pagi waktu Jeddah atau pukul 1.07 tengah hari waktu Malaysia. Catatan pukul 8.05 malam oleh anak saya sebelum ini adalah kesilapan berikutan kami menerima berita kematian melalui Wisma Putra pada pukul 12.17 tengah malam, 18 Januari 2026,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan maklumat berkaitan kejadian hanya diperoleh melalui penerangan lisan pihak berkuasa Arab Saudi kerana bagi kes kehilangan orang dewasa, laporan hanya boleh dibuat selepas 24 jam.

Terdahulu, Nadia Kesuma atau nama sebenarnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim, 50, dilaporkan meninggal dunia pada hari sama beliau dilaporkan hilang ketika transit di Lapangan Terbang Jeddah dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke London.

Allahyarham merupakan antara 21 peserta pakej Umrah–London–Paris anjuran Nuh Travel & Tours Sdn. Bhd., dan pihak berkuasa lapangan terbang memaklumkan arwah dipercayai rebah akibat serangan jantung sebelum dikejarkan ke Hospital King Fahad, Jeddah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button