BERITA SEMASA

Kes guru tak dapat cuti kahwin: Guru lain turut kongsi pengalaman hampir serupa

KUALA LUMPUR – Kisah seorang guru yang tular kerana tidak dibenarkan cuti pada hari perkahwinannya di aplikasi Thread turut mendapat perhatian pempengaruh terkenal, Cikgu Mohd Fadhli Salleh.

Melalui satu hantaran di Facebooknya semalam, Mohd Fadhli melahirkan rasa kesalnya terhadap pentadbir yang terlibat.

“Kes ini sahih. Serius aku tak sangka benda begini boleh berlaku.

“Dah mati rasa agaknya pentadbir tu. Cikgu itu pun, baik benar pergi patuh sangat.

Hantaran Mohd Fadhli di Facebooknya menerima banyak komen daripada guru yang pernah berdepan situasi sedemikian.

“Hari perkahwinan kau kot. Langgar sajalah arahan tu, ambil cuti tanpa gaji ke apa. Nanti jawablah surat tunjuk sebab tu,” tulisnya.

Dalam pada itu, ruangan komen pada status tersebut turut dipenuhi pengakuan cikgu yang pernah berdepan situasi demikian.

“Memang ada pun, dah pernah rasa. Ambil cuti dua hari, dia potong sehari.

“Pengampu-pengampu dia boleh pulak cuti direct seminggu. Pergi klinik dapat cuti sakit (MC), dia suruh datang kerja dulu bagi MC.

“Dia luluskan baru boleh balik. Katanya MC tu hak dia nak luluskan atau tidak,” ujar Jamilaton Az.

Tambahnya cuti bersalin yang dimohon tiga bulan sebab anak sulung, dipotong bagi dua bulan sahaja.

“Beranak operate (pembedahan) pula, sampai aku merayu minta doktor buat memo sebab badan tak kuat lagi nak pergi kerja.

“Anak dah enam bulan baru minta cuti emergency (kecemasan) sebab anak demam.

“Dia tak bagi cuti, katanya takkan pengasuh boleh jaga anak masa sihat saja, masa anak sakit, pengasuh tak boleh jaga ke?

“Aku cakap ada anak asuhan lain, takut nanti berjangkit pada budak lain, aku cuti juga. Memang masa tu pentadbiran diktatorlah.

“Masuk pagar nampak kereta dia parking, perut dah serabut fikir apa lagi nak kena hari ni,” komen Jamilaton panjang lebar.

Sementara itu, Mohd Shafa Azam pula berkongsi pengalaman isterinya berdepan guru besar (GB) yang tidak bertimbang rasa.

Wife (isteri) aku kena dengan GB sekolah dia. 2017 kami tunaikan haji, jadi ada tiga hari cuti.

“Isteri disuruh ambil CTG (Cuti Tanpa Gaji). Kesannya masa naik gred tangguh dua tahun.

“Geng-geng batch dia elok saja naik. Dia dah isi online, kena buat semula manual sebab tiga hari CTG,” jelasnya.

Seorang lagi pengguna media sosial, Susan Joe mengakui berdepan situasi seperti itu pada awal-awal posting sebagai guru.

“Akad nikah Jumaat. Sabtu kenduri. Isnin apply (mohon) cuti rehat. Pengetua tak luluskan sebab baru saja habis cuti sekolah seminggu masa tu.

“Dia kata kenapa buat hujung cuti, buatlah awal-awal cuti. Kita ni kenduri di kampung. Ada syarikat kampung yang handle (uruskan) kenduri kendara.

“Tarikh awal cuti orang lain dah booked (tempah). Terpaksalah ambil MC. Mujur tak kena panggil mengadap,” tulisnya.

Rata-rata komen lain turut melahirkan ketidakpuasan hati mengenai sikap pentadbir sekolah yang tidak boleh bertolak ansur.

Hingga kini, status tersebut menerima 5,200 reaksi, 1,100 komen dan 471 perkongsian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button