Tempahan 300 nasi lemak tidak diambil, penduduk kampung borong sampai habis
KUALA LUMPUR – Seorang wanita penjual nasi lemak yang didakwa menjadi mangsa pelanggan tidak bertanggungjawab selepas tempahan 300 bungkus nasi lemaknya tidak diambil menerima ‘bantuan’ orang ramai selepas kisahnya tular di media sosial.
Perkara itu dikongsikan pengguna Threads, @nr.airisariesha yang memuat naik gambar wanita berkenaan bersama beberapa bungkusan nasi lemak sambil meluahkan rasa kecewa terhadap individu yang membuat tempahan tersebut.
“Wehh, jahat betul siapa yang order lepas tu tak ambil. Guys, ada yang kenal tak makcik ni. Sumpah siapa la tergamak buat macam ni,” tulisnya.
Hantaran itu turut disertakan kapsyen yang memaklumkan wanita tersebut dikatakan menerima tempahan sebanyak 300 bungkus nasi lemak, namun pelanggan berkenaan gagal mengambil pesanan tersebut.
“Siapa lah yang aniaya makcik ni. Order 300 pax nasi lemak tapi tak ambil. Sesiapa area Kampung Gangsa atau berdekatan, tolonglah pergi beli. Habiskan nasi lemak makcik ni. RM1 saja. Sama-sama membantu,” menurut hantaran itu.

Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai sebelum seorang lagi pengguna, dipercayai anak kepada wanita berkenaan, tampil mengesahkan individu dalam gambar itu adalah ibunya.
“Hi, ni ibu saya. Terima kasih yang tolong viralkan ibu saya. Alhamdulillah, orang kampung borong semua sampai habis terjual. Terima kasih juga bagi yang mendoakan,” tulis @hadiakhtarr.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen melahirkan rasa simpati dan menasihatkan agar peniaga tersebut meminta deposit terlebih dahulu sebelum menerima tempahan dalam jumlah besar bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
“Kasihannya ibu awak. Lepas ini minta deposit 80 peratus baru buat order. Kalau tak ada, tak payah buat. Scammer sekarang memang banyak,” komen @fl0ralji_.
Seorang lagi pengguna turut mencadangkan agar urusan tempahan dibuat menggunakan nombor khas untuk perniagaan serta menetapkan sistem pembayaran deposit secara automatik sebelum pesanan diproses.
“Alhamdulillah, lega mendengar, Lepas ni better awak suruh mak buat nombor baru for business only. Buat automatic message and mesti kena ada deposit dulu. Takda deposit, takda order,” kata @hzqfatth.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








