Terlibat sindiket penipuan RM192,084, enam keldai akaun dihadap ke mahkamah
JOHOR BAHRU – Sindiket penipuan pelaburan, pinjaman dan pekerjaan tidak wujud yang membabitkan kerugian RM192,084 membawa kepada pendakwaan enam individu, termasuk seorang wanita yang berperanan sebagai keldai akaun di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Tertuduh, Muhammad Aiman Firdaus Sezaini, 21, Fadzil Abd. Aziz, 54; Eric Yeremia Kong, 27, dan Sarawut Chaorai, 34, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Mohd Zamir Suhaimee dan Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Muhammad Aiman, Fadzil dan Sarawut masing-masing didenda RM1,000 manakala Yeremia Kong didenda RM450 dan boleh dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Keempat-empat mereka berdepan pertuduhan secara tidak jujur membantu mengalihkan harta mangsa yang bernilai antara RM384 hingga RM2,500.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi sekitar Seri Alam, Johor Jaya, dan Ulu Tiram di sini, antara 18 Jun hingga 19 Oktober 2025.
Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Sementara itu, Noor Shafiqah Zulaikha Abdul Halim, 22, dan Yap Kay Soon, 50, mengaku tidak bersalah menggunakan akaun bank syarikat membabitkan transaksi berjumlah RM157,000 dan RM30,000 tanpa tujuan yang sah dan menyalahgunakan untuk kegunaan sendiri.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Ulu Tiram antara 18 Disember 2023 hingga 29 Jun 2025 didakwa mengikut Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 403 Kanun Keseksaan.
Noor Shafiqah boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak lebih RM150,000 atau kedua-duanya sekali manakala Kay Soon dihukum dengan penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Nevina dan Nurul Syafiqah Sha’ari manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan Noor Shafiqah dan Kay Soon masing-masing diikat jamin RM5,000 dan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Julai depan sebagai sebutan semula kes.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







