BERITA SEMASA

2,000 asnaf diperalat sebagai keldai akaun oleh sindiket penipuan – Zakat Selangor

KLANG – Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) mendedahkan terdapat kira-kira 2,000 asnaf diperalatkan sebagai keldai akaun oleh sindiket penipuan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Mohd. Khaidzir Shahari, pihak sindiket mengambil kesempatan terhadap golongan berkenaan yang dihimpit kesusahan dan kurang kesedaran kewangan.

Beliau memberitahu, kebanyakan asnaf tidak menyedari mereka sedang dimanipulasi selepas diminta menyerahkan MyKad sebelum dibukakan akaun bank serta kad mesin pengeluaran automatik (ATM) oleh pihak scammer.

“Scammer pun tidak tahu mereka ini asnaf. Cuma mereka mudah dimanipulasi kerana terdesak wang. Ada yang ditawarkan RM100 sebulan, hanya serahkan kad pengenalan dan buka akaun dan tetapkan kata laluan sebelum diserahkan kepada scammer.

“Asnaf ini pula mungkin suka namun tidak menyedari bahawa mereka telah menjadi keldai akaun.

“Sedar-sedar apabila kita hendak masukkan bantuan bulanan, pihak bank maklum bayaran tidak lulus kerana akaun telah disenarai hitam,” katanya dalam satu sidang media, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Timbalan Mufti Selangor, Datuk Dr. Miszairi Sitiris menyempurnakan program simbolik agihan bantuan Ramadan dan Syawal Tahun 2026.

Tambahnya, siasatan lanjut mendapati akaun berkenaan terlibat dalam kes jenayah, sekali gus menyukarkan proses penyaluran bantuan zakat.

“Apabila akaun disenarai hitam, kita perlu cari kaedah lain untuk salurkan bantuan. Dalam Islam, mereka masih asnaf dan layak menerima zakat, itu tanggungjawab kita.

“Mereka ini adalah mangsa yang jadi keldai akaun,” jelasnya.

Ketika mengulas lanjut, beliau berkata, Zakat Selangor turut bekerjasama dengan institusi kewangan bagi meningkatkan kesedaran literasi kewangan dalam kalangan asnaf serta mengekang kegiatan penipuan.

“Apabila kita berkongsi perkara ini dengan pihak bank, ramai tampil bekerjasama bagi memberi pendidikan kewangan serta pendedahan mengenai modus operandi scammer yang menipu asnaf jadi mangsa untuk tujuan tidak baik,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button