JENAYAH & MAHKAMAH

8,484 kes tipu tawaran kerja sejak 2024, catat kerugian RM320 juta

KUALA LUMPUR – Sindiket penipuan tawaran kerja sambilan terus menunjukkan trend membimbangkan apabila 8,484 kes direkodkan di seluruh negara sepanjang tempoh 1 Januari 2024 hingga 14 Disember 2025, melibatkan kerugian keseluruhan mencecah RM320 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, jumlah kes itu mencatat peningkatan ketara sebanyak 146 peratus, iaitu 5,033 kes berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Menurutnya, jumlah kerugian bagi tahun 2025 sahaja mencecah RM202 juta, meningkat daripada RM118 juta pada tahun 2024 iaitu pertambahan sebanyak RM83.75 juta atau kira-kira 70 peratus.

“Peningkatan ini menunjukkan jenayah penipuan tawaran kerja sambilan bukan sahaja semakin berleluasa malah memberi impak kewangan yang sangat besar kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rusdi berkata, hasil siasatan mendapati sindiket penipuan lazimnya menggunakan media sosial dan aplikasi pesanan segera dengan menawarkan pekerjaan sambilan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat.

“Selepas itu, mangsa akan diminta membuat bayaran pendahuluan atau pemindahan wang ke akaun keldai (mule account) atas pelbagai alasan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa tiada majikan yang sah akan meminta bayaran pendahuluan sebagai syarat untuk mendapatkan pekerjaan.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, tidak mendedahkan maklumat peribadi atau perbankan kepada pihak tidak dikenali serta segera membuat laporan polis sekiranya mengesyaki telah menjadi mangsa penipuan.

Katanya, JSJK akan terus mempergiatkan usaha pencegahan, siasatan dan penguatkuasaan bagi membanteras jenayah berkenaan.

“Orang ramai yang mengesyaki diri mereka terlibat atau menjadi mangsa sebarang bentuk penipuan, khususnya berkaitan tawaran kerja sambilan, disarankan supaya segera menghubungi Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) di talian 997 selain membuat laporan di balai polis berhampiran.

“Tindakan segera amat penting bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil langkah pantas untuk mengesan serta membekukan aliran kewangan yang terlibat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button