Mangsa sindiket penipuan terjerat hutang RM14,000, akaun bank disalah guna untuk transaksi RM2.4 juta
KUALA LUMPUR – Seorang individu terjerat dalam aktiviti sindiket penipuan apabila akaun bank yang dibuka atas alasan pembayaran gaji disalah guna untuk memindahkan wang haram mencecah RM2.4 juta.
Mangsa, Jay, 26, kini hidup dalam ketakutan selepas mendapati akaun syarikat yang dibuka tanpa pengetahuannya telah disalah guna oleh sindiket penipuan, sekali gus menjadikannya mangsa keldai akaun, lapor Buletin TV3.
Menurut Jay, segala-galanya terbongkar selepas pemuda berkenaan yang sepatutnya memulakan tugas sebagai pegawai khidmat pelanggan tidak menerima sebarang panggilan daripada syarikat terbabit, sebaik sahaja menamatkan latihan selama seminggu.
“Mula-mula dapat tawaran dia bagi kita rumah, makan minum dia tanggung dan dia cakap kena menjalani latihan seminggu untuk syarikat. Semasa seminggu itu dia minta buka akaun bank kononnya untuk gaji.
“Lepas itu dia bawa kami ke bank, kemudian kata permohonan pembukaan akaun tak lulus dan dia bawa ke beberapa bank lain. Semua dia kata tak lulus,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya, pemuda itu mula berasa curiga dan berhasrat untuk menarik diri daripada latihan selepas permohonan pembukaan akaun di tiga buah bank ditolak, namun tindakannya itu dihalang oleh wakil syarikat terbabit.
Katanya, dia dan beberapa individu lain akhirnya meneruskan latihan berkenaan yang berakhir pada penghujung April dan menunggu panggilan untuk mula bekerja.
“Dalam tiga empat hari semua hilang, WhatsApp pun satu tick sahaja. Bila dah macam itu, saya ambil inisiatif sendiri untuk cari balik orang itu. Bila saya cari baru tahu orang itu membuka syarikat atas nama saya, kononnya saya ini pemilik.
“Bila semak dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) saya jumpa nombor setiausaha dan saya telefon dia. Tetapi dia kata dia pun dah ke dalam (ditahan) sebab kes sama macam saya,” katanya.
Menurutnya, semakan lanjut mendapati namanya turut digunakan untuk mendaftar dua akaun perkhidmatan Internet di mana pemuda itu diminta membayar kira-kira RM14,000 jika mahu membatalkan kontrak selama 24 bulan daripada syarikat penyedia.
Lebih membimbangkan apabila dia mendapati beberapa akaun dibuka di atas namanya membabitkan bank yang dirinya sendiri tidak pernah menjejakkan kaki secara fizikal ke premis berkenaan.
“Saya juga dapat tahu yang dia mengguna nama saya untuk mendaftar lima nombor. Lima nombor itu dia guna untuk tipu orang lain pula. Macam saya nampak iklan kerja di grup kerja kosong dekat Facebook, dia ada juga di Instagram dengan Telegram.
“Pada mulanya memang tak syak sebab kita fikir dia buat bersemuka, training itu pun kita tinggal satu rumah, makan sama, main permainan video sama jadi tak terfikir pula ini satu scam,” katanya.
Sementara itu Setiausaha Agung Pertubuhan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishammuddin Hashim berkata, pihaknya akan membantu mangsa membuat laporan polis secepat mungkin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





















