‘Dia tetap mak mentua saya’ – Dr Fie doakan Mak Jenny cepat sembuh
KUALA LUMPUR – Walaupun ikatan perkahwinan dengan penyanyi Ahmad Nubhan Ahamad telah berakhir, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau Dr Fie tetap menzahirkan keprihatinan terhadap bekas mentuanya, Mak Jenny yang mengalami kecederaan akibat terjatuh, baru-baru ini.
Menurut Dr Fie, beliau sentiasa mengikuti perkembangan kesihatan Mak Jenny menerusi media sosial dan mendoakan agar wanita itu segera diberikan kesembuhan.
“Saya ada baca cerita dalam sosial media mengenai Mak Jenny jatuh dan tulang retak. Saya memang doakan walaupun tak sempat lagi nak berjumpa, dia tetap mak mentua saya.
“Tak ada putus hubungan, walaupun berpisah suami isteri tapi dia tetap mak mentua saya,” katanya dalam satu temu bual.
Beliau turut berkongsi pengalaman menjaga Mak Jenny ketika menerima rawatan di hospital sewaktu masih bergelar isteri kepada Nubhan.
“Sebelum ini saya pernah juga ada pengalaman bersamanya di hospital dan saya faham bukan mudah untuk menjaga orang tua.
“Saya doakan banyak-banyak untuk Mak Jenny semoga cepat sihat dan semoga Nubhan juga dapat jaga Mak Jenny dengan baik sebab ini mungkin peluang dia untuk jaga ibunya,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Fie berkata, Nubhan tidak perlu terlalu memikirkan urusan anak-anak mereka kerana beliau bersedia mengambil alih tanggungjawab tersebut sementara bekas suaminya memberi tumpuan sepenuhnya kepada penjagaan ibunya.
“Tak perlu lagi nak fikir benda lain, tidak apa, saya akan fikirkan tentang anak-anak.
“Saya nak dengar lagi suara mak dalam media sosial. Walaupun tak dapat dengar depan-depan, dari media sosial pun dapat ubat rindu,” ujarnya.
Terdahulu, Nubhan berkongsi keadaan terkini ibunya, Mak Jenny yang mengalami patah tulang pinggul dan kaki selepas terjatuh, sehingga memerlukan rawatan lanjut.
Untuk rekod, Nubhan dan Dr Fie sah bercerai talak dua selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga.
Lafaz talak pertama berlaku pada 2017, manakala talak kedua dilafazkan pada Ogos 2025 sebelum disahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada 2 Disember lalu.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 9, Ahmad Aaffan, 7, dan Afzan Nayille, 4.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














