BERITA SEMASA

31 mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar selamat dibawa pulang – Wisma Putra

PUTRAJAYA – Seramai 31 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Myawaddy, Myanmar akhirnya selamat kembali ke tanah air selepas melalui proses rundingan dan bantuan konsular yang panjang.

Kesemua mereka tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah kira-kira pukul 6.50 petang semalam sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan lanjut.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan, kejayaan membawa pulang kumpulan terbabit adalah hasil kerjasama rapat antara Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan Yangon, selain sokongan pihak
berkuasa tempatan negara terlibat.

“Usaha penghantaran pulang berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kebajikan dan keselamatan rakyat Malaysia di luar negara, khususnya mereka yang terperangkap sebagai mangsa sindiket penipuan pekerjaan dan dalam talian,” katanya.

Kementerian Luar atau dikenali sebagai Wisma Putra berkata, Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Thailand serta pihak berkuasa Myanmar atas kerjasama erat yang diberikan bagi melancarkan dan mempercepatkan urusan kepulangan kesemua 31 warga Malaysia berkenaan.

“Identiti individu terbabit telah disahkan lebih awal oleh pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok semasa proses penghantaran pulang pada awal Disember lalu.

“Walau bagaimanapun, kepulangan mereka tertangguh kerana tertakluk kepada undang-undang imigresen tempatan susulan kemasukan secara haram,” katanya.

Hasil rundingan berterusan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dengan bantuan pihak berkuasa Imigresen Tak, kumpulan berkenaan dibebaskan di bawah Mekanisme Rujukan Kebangsaan (NRM) Thailand pada 19 Disember.

Sepanjang tempoh itu, bantuan konsular menyeluruh telah disalurkan termasuk memaklumkan kepada ahli keluarga, pengeluaran dokumen perjalanan sementara, pengaturan logistik, penyediaan keperluan asas serta iringan sepanjang perjalanan selama 26 jam dari Mae Sot, Wilayah Tak ke Bukit Kayu Hitam.

Kesemua rakyat Malaysia itu merupakan antara warga asing yang diselamatkan pihak berkuasa Myanmar dalam operasi membanteras kegiatan penipuan dalam talian di kawasan Myawaddy, baru-baru ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button