BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Sindiran di media sosial cetus pergaduhan 10 pelajar perempuan di Bedong

SUNGAI PETANI – Salah faham dan sindir-menyindir di media sosial dipercayai menjadi punca pergaduhan membabitkan sekumpulan pelajar perempuan sebuah sekolah di Bedong, dekat sini sehingga menyebabkan empat remaja cedera.

Kejadian yang berlaku antara pukul 1 tengah hari hingga 2 petang kelmarin membabitkan 10 pelajar itu turut tular menerusi satu rakaman video di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asistan Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya mengesan video kejadian terbabit sebelum mendapati tiada laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak.

“Ketua Polis Balai Bedong kemudian bertindak membuat laporan polis pada keesokan hari sebelum siasatan dijalankan.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku ketika pelajar sedang pulang selepas tamat sesi persekolahan pagi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, hari ini.

Menurut beliau, hasil temu bual dengan pihak sekolah mendapati pergaduhan berpunca daripada perselisihan faham susulan tindakan beberapa pelajar saling menyindir dan mengata di media sosial.

Katanya, pihak sekolah sebelum itu sudah menasihati pelajar terbabit dan menganggap isu berkenaan selesai selepas mereka saling bermaafan.

“Bagaimanapun, ketika terserempak di luar sekolah semasa pulang, berlaku pertengkaran sebelum beberapa pelajar saling tolak-menolak antara satu sama lain,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Beliau berkata, pergaduhan kecil itu kemudiannya merebak apabila rakan-rakan lain cuba meleraikan keadaan sehingga membabitkan lebih 10 pelajar.

Akibat kejadian itu, empat pelajar tingkatan satu hingga empat mengalami lebam di beberapa bahagian badan.

Menurutnya, polis sudah menahan tujuh pelajar perempuan berusia antara 13 hingga 16 tahun dan sedang mengesan beberapa lagi individu yang dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan.

Setakat ini, tujuh rakaman percakapan sudah diambil dan polis sedang mengesan saksi lain bagi melengkapkan siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button