
Print screen terus hantar MCMC, aplikasi NEXUS pantau kualiti internet
CYBERJAYA – Orang ramai kini tidak lagi perlu berhadapan dengan kesukaran untuk melaporkan mengenai masalah internet di kawasan masing-masing selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membangunkan satu aplikasi baharu yang membolehkan aduan dibuat hanya menerusi ‘print screen’.

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, aplikasi yang dibangunkan oleh MCMC itu membolehkan pengguna menguji kelajuan internet serta menghantar data prestasi rangkaian secara automatik tanpa perlu membuat laporan secara manual.
“Semua maklumat ini akan dihantar secara automatik kepada MCMC. Jadi kita boleh kenal pasti kawasan yang internetnya tidak memuaskan dan ambil tindakan dengan lebih cepat
“Kalau saya nak highlight kawasan internet lemah, saya hanya perlu ‘print screen’ dan hantar kepada MCMC untuk tindakan segera,” katanya dalam sidang media pelancaran aplikasi MCMC NEXUS hari ini.
Tambah beliau, aplikasi berkenaan turut membolehkan pengguna mengenal pasti liputan rangkaian ketika bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain, selain menilai kualiti isyarat di dalam bangunan melalui fungsi “building survey”.
Beliau berkata, pengalaman penggunaan di kawasan perindustrian di Kulai, Johor mendapati walaupun liputan di luar bangunan adalah baik, namun kualiti isyarat di dalam premis masih memerlukan penambahbaikan.
Dalam pada itu, Nie Ching berkata, semua data yang dikumpulkan adalah anonim dan tidak melibatkan maklumat peribadi pengguna, selaras dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
Jelasnya, data tersebut akan membantu MCMC menganalisis prestasi rangkaian secara lebih menyeluruh termasuk mengenal pasti kesesakan serta kawasan liputan lemah, sekali gus membolehkan tindakan penambahbaikan dilaksanakan secara lebih bersasar.
Dalam perkembangan sama, MCMC turut menjalin kerjasama strategik bersama pelbagai agensi dan rakan industri termasuk Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC).
Selain itu, kerjasama turut melibatkan pemain industri seperti ZUS Coffee dan Ninja Van bagi memperluas penggunaan aplikasi serta meningkatkan capaian pengguna di seluruh negara.
Orang ramai boleh memuat turun aplikasi MCMC NEXUS secara percuma melalui Google Play Store, Apple App Store dan Huawei AppGallery.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






