BERITA SEMASA

PM Pakistan tiba untuk lawatan tiga hari

SEPANG – Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif tiba di Malaysia hari ini untuk memulakan lawatan rasmi selama tiga hari atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pesawat khas yang membawa Shehbaz dan delegasi mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 9.46 malam tadi.

Ketibaan Shehbaz disambut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil. – fb/FAHMI FADZIL

Ketibaan beliau disambut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Dalam satu kenyataan terdahulu, Wisma Putra berkata, lawatan itu adalah sebagai membalas lawatan rasmi Anwar ke Pakistan pada Oktober 2024.

“Kedua-dua pemimpin dijangka menilai kemajuan hubungan dua hala serta meneroka peluang kerjasama antara Malaysia-Pakistan, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, industri halal, pendidikan, pelancongan dan pertahanan,” menurut Wisma Putra.

Kedua-dua pemimpin juga dijangka bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Kedua-dua perdana menteri juga dijadualkan menghadiri Persidangan Perniagaan dan Pelaburan Pakistan-Malaysia.

Sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan, komitmen dalam pembangunan negara, khidmat kepada rakyat serta usaha memartabatkan nilai-nilai Islam dalam tadbir urus, Shehbaz akan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Kepimpinan dan Tadbir Urus oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Untuk rekod, Malaysia dan Pakistan menjalinkan hubungan diplomatik pada 1957 dan ditingkatkan kepada tahap Perkongsian Strategik sejak Mac 2019.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button