PENYERTAAN rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN membawa dimensi baharu kepada kerjasama serantau, bukan sekadar dari aspek diplomasi tetapi juga keselamatan maritim, pembangunan ekonomi dan kestabilan geopolitik Asia Tenggara.
Menurut Pensyarah Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Dr. Mizan Mohammad Aslam, kedudukan strategik Timor-Leste menjadikan negara itu berpotensi besar sebagai jambatan diplomatik antara ASEAN dan negara-negara Pasifik, khususnya dalam konteks keselamatan dan latihan pertahanan.

Beliau berkata, antara inisiatif penting yang diumumkan oleh Presiden Jose Ramos-Horta dan Perdana Menteri Xanana Gusmao ialah penubuhan Dili Maritime Coordination Reel yang dijangka bermula pada tahun 2027, sebagai pusat latihan keselamatan laut dan ketenteraan bagi negara ASEAN dan rakan global.
Langkah itu mencerminkan kematangan awal Timor-Leste dalam memainkan peranan aktif di peringkat serantau walaupun baru menyertai ASEAN.
Secara geografi, negara yang terletak di antara Australia dan Indonesia itu mempunyai lokasi strategik yang boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh kerjasama keselamatan, perdagangan dan diplomasi antara dua blok penting dunia.
Dr. Mizan menegaskan, kemasukan Timor-Leste penting bagi memastikan ASEAN kekal neutral dan bebas daripada pengaruh kuasa besar.
“Australia dan New Zealand merupakan sekutu kuat Amerika Syarikat, manakala ASEAN mengekalkan pendirian berkecuali.
“Dengan penyertaan Timor-Leste, rantau ini dapat mengekalkan semangat tidak berpihak seperti terkandung dalam dasar ZOPFAN (Zone of Peace, Freedom and Neutrality) serta SEANWFZ (Southeast Asia Nuclear Weapon-Free Zone),” katanya.
Bahkan beliau berkata, jika ASEAN tidak membuka ruang kepada Timor-Leste, negara itu mungkin menjadi rebutan geopolitik antara kuasa Barat dan Timur serta berisiko terjerumus dalam agenda strategik luar.
Tambahnya, dari segi ekonomi, Timor-Leste memiliki zon ekonomi eksklusif seluas 200,000 kilometer persegi yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas kemerdekaannya pada 2011.
“Kawasan laut yang luas itu berpotensi mengandungi sumber minyak dan gas yang belum diterokai sepenuhnya. Walaupun masih dianggap antara negara termiskin di rantau ini, kekayaan laut dan sumber tenaga yang dimiliki boleh mengubah masa depannya secara drastik,” ujar beliau.
Dengan populasi sekitar 1.4 juta orang, lebih separuh rakyatnya masih hidup dalam kemiskinan namun, penyertaan ASEAN membuka peluang besar kepada pelaburan, perdagangan dan pembangunan industri.
“Timor-Leste boleh belajar daripada kejayaan Malaysia, Singapura, Thailand dan Vietnam dalam membina industri serta mengurus pembangunan negara.
“Negara itu juga berpotensi menjadi pasaran buruh baharu dengan tenaga kerja muda dan murah yang boleh dilatih bagi memenuhi keperluan industri serantau.
“Kawasan tertentu boleh dibangunkan sebagai zon bebas cukai untuk menarik pelaburan asing dan meningkatkan hubungan ekonomi dua hala dengan negara ASEAN.
Menyentuh cabaran integrasi, Dr. Mizan menekankan bahawa Malaysia memainkan peranan penting dalam membantu Timor-Leste melalui latihan dan bantuan teknikal.
“Kita bantu bukan untuk keuntungan segera, tetapi demi hubungan jangka panjang. Itulah nilai kemanusiaan dan diplomasi sebenar”
Dr. Mizan mengingatkan bahawa penyertaan Timor-Leste bukan sekadar soal politik, tetapi tentang masa depan keamanan dan keseimbangan kuasa di Asia Tenggara.
Mengakhiri kata, beliau berharap sokongan berterusan daripada negara anggota, khususnya Malaysia, Timor-Leste berpotensi menjadi aset strategik dalam membina Asia Tenggara yang lebih stabil, makmur dan bersatu di bawah semangat ASEAN.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








