BERITA SEMASA

Pijak al-Quran: Penuntut IPTA mohon maaf, dakwa dipengaruhi perasaan dendam

KUALA LUMPUR – Seorang penuntut di sebuah institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) memohon maaf di atas tindakannya memijak al-Quran dan memuat naik ke dalam laman media sosialnya.

Menurut pengguna akaun Thread, Ryvikselva, dia mengakui perbuatan itu merupakan satu kesalahan dan tidak menghormati umat Islam khususnya.

“Saya ingin memohon maaf dengan sepenuh hati atas gambar yang saya muat naik sebelum ini yang melibatkan al-Quran.

“Perbuatan saya adalah salah, tidak beradab dan sangat tidak menghormati. Tiada alasan yang boleh membenarkan tindakan saya.

“Saya akui bahawa saya bertindak dalam keadaan marah dan dipengaruhi perasaan dendam. Ketika itu saya tidak berada dalam keadaan fikiran yang waras dan tenang. Saya membiarkan emosi menguasai diri sehingga melakukan sesuatu yang sangat saya kesali sekarang,” dakwanya.

Terdahulu tular gambar seorang individu memijak al-Quran di laman Thread.

Selain itu, individu berkenaan turut memuat naik beberapa hantaran berbaur provokasi dalam laman media sosialnya.

Sementara itu Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengesahkan kini sedang menjalankan siasatan berhubung penyebaran kandungan di media sosial yang menyentuh isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) dengan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pelajar yang didapati bersalah.

Dalam satu kenyataan hari ini, UMPSA memaklumkan, pihaknya memandang serius kandungan yang dimuat naik menerusi akaun milik seorang individu yang dikaitkan dengan universiti itu sehingga mencetuskan ketegangan kaum dan menggugat keharmonian awam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button