BERITA SEMASA

Pegawai penyelidik rugi RM600,500 terpedaya skim pelaburan palsu melalui WhatsApp

KUANTAN – Seorang pegawai penyelidik berusia 57 tahun mengalami kerugian RM600,500 selepas terperdaya dengan skim pelaburan palsu yang diperkenalkan melalui aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, wanita tersebut menyertai skim pelaburan itu selepas dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp yang dikenali sebagai K81 Lombard Stock Investment Academy pada 21 Mac lalu.

Mangsa kemudiannya diarahkan untuk memuat turun aplikasi bernama LOARDMB melalui pautan yang diberikan oleh suspek bagi tujuan pelaburan.

Menurut Yahaya, mangsa telah melakukan tiga transaksi awal bernilai RM14,000 dan berjaya membuat pengeluaran pertama sebanyak RM1,000.

Kejayaan ini menyebabkan mangsa semakin yakin dan memutuskan untuk meneruskan pelaburan.

“Seterusnya, dalam tempoh 23 April hingga 4 Jun lalu, mangsa telah melakukan sebanyak 28 transaksi kepada tiga akaun bank yang berlainan dengan jumlah pelaburan keseluruhan mencecah RM600,500,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Paparan dalam aplikasi itu menunjukkan anggaran keuntungan melebihi RM300,000 namun apabila mangsa cuba mengeluarkan RM50,000, suspek meminta bayaran RM200,000 sebagai caj perkhidmatan.

“Pada ketika itu, mangsa menyedari bahawa dia telah ditipu,” tambah Yahaya.

Sumber kewangan yang digunakan oleh mangsa adalah daripada simpanannya sendiri.

Kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button