BERITA SEMASA

Skim wajib tayang sudah tidak relevan – Syahredzan

KUALA LUMPUR – Skim Wajib Tayang (SWT) yang diguna pakai sejak era pawagam berskrin tunggal disifatkan tidak lagi sesuai dengan perkembangan semasa industri perfileman dan perlu diganti dengan kaedah perlindungan yang lebih berkesan.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, pelaksanaan SWT pada masa ini tidak memberi manfaat sebenar kepada pembikin filem tempatan kerana perlindungan yang diberikan terlalu minimum.

Beliau berkata, walaupun SWT menetapkan filem tempatan mesti ditayangkan selama 14 hari, hakikatnya pawagam hanya terikat untuk empat hari pertama.

“Sekiranya jumlah penonton tidak mencapai 15 peratus dalam tempoh itu, pawagam bebas mengurangkan tayangan atau menjadualkannya pada waktu yang kurang sesuai.

“Selepas empat hari, pawagam boleh meletakkan filem tempatan pada slot seperti 10 pagi atau waktu Maghrib.

“Ini menyebabkan perlindungan sebenar yang diberikan kepada pembikin filem hanya sekadar pada kertas,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, keadaan itu membolehkan pawagam sekadar menayangkan satu sesi sehari untuk baki 10 hari, sekali gus menjadikan matlamat asal skim tersebut tidak tercapai.

Syahredzan turut berkata, Malaysia ketinggalan berbanding negara-negara yang memberikan perlindungan lebih kukuh, termasuk Korea Selatan yang memperuntukkan 73 hari tayangan wajib untuk filem tempatan dalam setahun.

“Dasar sedia ada tidak mengambil kira realiti pawagam multipleks.

“Sudah tiba masanya kerajaan meneliti penggunaan kuota skrin dan kuota tayangan bagi memberikan ruang yang adil kepada filem tempatan bersaing,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, penerbit filem berskala kecil adalah kumpulan yang paling terjejas berikutan kekangan promosi dan pemasaran, justeru FINAS perlu menyediakan program pembangunan kapasiti yang lebih komprehensif.

“Industri filem semakin berkembang melalui platform penstriman, media sosial dan teknologi baharu, sekali gus menuntut dasar yang lebih tersusun dan berpaksikan realiti semasa.

“Filem bukan sekadar hiburan. Ia mencerminkan masyarakat, membawa kritikan sosial dan menjadi sebahagian daripada kuasa budaya negara. Industri ini perlukan hala tuju jelas,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button