
Dalam tempoh tiga tahun yang singkat, Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mencipta fenomena luar biasa apabila berjaya mengembalikan kegemilangan sukan sepaktakraw negara di pentas antarabangsa.
Bermula Februari 2022, dengan barisan kepimpinan baharu yang komited dan berani membuat perubahan, PSM kini menjadi antara badan sukan paling progresif di Malaysia.

Dari Krisis ke Konsolidasi
Tahun pertama kepimpinan baharu dipenuhi ujian getir. Konflik dalaman yang meruncing selama bertahun-tahun membawa kepada keputusan drastik – pembubaran Majlis Tertinggi Sepaktakraw (Mastaf) pada Disember 2022. Tindakan itu membuka jalan untuk PSM beroperasi dengan struktur yang lebih mantap dan telus.
Krisis hubungan dengan badan dunia pula menguji kewibawaan organisasi. PSM menggantung penyertaan di peringkat antarabangsa seketika akibat isu pengiktirafan, namun usaha diplomasi yang konsisten akhirnya membuahkan hasil.
Pada Jun 2023, Malaysia kembali diterima sebagai ahli gabungan ISTAF, sekali gus membuka semula ruang untuk bersaing di kejohanan utama dunia.
Pentas Dunia Milik Malaysia
Kemunculan semula Malaysia dalam kancah antarabangsa dimanfaatkan sepenuhnya. Bermula dengan kejayaan gemilang menjuarai acara Regu Piala Dunia ISTAF 2024 – buat kali pertama selepas 10 tahun – skuad negara terus mencipta rekod manis.
Tahun berikutnya, pasukan Malaysia menjulang kejuaraan Regu dan Quadrant di ASTAF Asian Cup 2025, termasuk gelaran Double World Cup 2024 yang tidak pernah dimenangi sejak pengenalannya pada 2011.
Malaysia juga muncul naib juara berpasukan di World Cup KL 2024, King’s Cup Thailand dan Asian Cup 2025 prestasi yang membuktikan kekuatan konsisten skuad negara dalam semua format pertandingan.
Pembinaan Sistem dan Program Akar Umbi
Kejayaan itu bukan hasil kebetulan. Di sebalik piala dan trofi, PSM melaksanakan strategi pembangunan jangka panjang yang menyeluruh.
Program Pelapis PSM-MARA yang memasuki tahun kedua di Kuantan, Pahang merupakan antara inisiatif berimpak tinggi untuk melahirkan bakat muda.
Selain itu, Klinik Sepaktakraw dan enam siri kursus kejurulatihan “2 in 1 Sport Coaching Plus” menjadikan Malaysia negara pertama melaksanakan pendekatan latihan moden ini.
Dalam masa yang sama, dua siri Bengkel Pelan Pembangunan Sepaktakraw Nasional telah diadakan bagi menyatukan dasar dan hala tuju pembangunan sukan ini secara menyeluruh daripada peringkat sekolah hingga ke antarabangsa.

Penganjuran Kejohanan Bertaraf Dunia
PSM turut mencatat pencapaian luar biasa dari segi penganjuran. Dua kejohanan antarabangsa anjuran Malaysia telah diiktiraf oleh ISTAF dan ASTAF sebagai antara yang terbaik dari segi pengurusan dan penyertaan.
Kejohanan baharu seperti Tun Ali Cup serta pembaharuan dalam STL dan STL Champion Cup pula membuktikan bahawa PSM serius memperkasa sepaktakraw di semua peringkat – profesional, akar umbi dan remaja.
Pengiktirafan dan Legasi Baharu
Segala usaha ini tidak sia-sia. PSM kini memiliki kompleks sukan dan rumah sendiri di Jalan Raja Muda, Kampung Baru simbol kemerdekaan dan keutuhan institusi.
Tambahan pula, skuad sepaktakraw negara kembali diiktiraf sebagai pasukan elit apabila menerima Anugerah Khas Pasukan di Majlis Anugerah Sukan SAM 2024 dan Anugerah Pasukan Lelaki Terbaik Kebangsaan di Anugerah Sukan Kebangsaan 2024.
Paling membanggakan, sepaktakraw kini kembali sebagai salah satu Sukan Teras negara satu pengiktirafan rasmi terhadap prestasi dan potensinya dalam mengharumkan nama Malaysia.
Fenomena yang Menjadi Bualan Negara
Dari gelanggang sekolah ke stadium antarabangsa, sepaktakraw kembali menjadi bualan rakyat Malaysia. Kejayaan PSM dalam mengurus, membangun dan mengangkat semula martabat sukan tradisi ini dalam masa yang singkat adalah sesuatu yang luar biasa.
Ia tidak sekadar pencapaian teknikal atau kemenangan di gelanggang, tetapi satu kebangkitan yang menyatukan peminat, penggiat dan wira-wira sukan negara.
Syabas dan tahniah buat seluruh kepimpinan tertinggi PSM kerana membuktikan bahawa dengan iltizam, kecekapan dan visi yang jelas, segalanya mampu dicapai.
Sepaktakraw Malaysia kini berada di landasan yang betul dan dunia sedang menyaksikan kebangkitan semula kuasa besar Asia ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








