Keluarga Zara nafi kaitkan kematian dengan VVIP, rayu henti sebar spekulasi
KOTA KINABALU – Keluarga Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir menafikan pernah mengaitkan kematian remaja itu dengan mana-mana individu berprofil tinggi atau VVIP, sekali gus menolak dakwaan dan spekulasi yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh peguam mereka, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, ibu Zara, Noraidah Lamat menegaskan pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan sedemikian.
“Anak guam kami tidak pernah mengaitkan kematian Zara dengan mana-mana individu berprofil tinggi atau VVIP.
“Sebarang andaian atau dakwaan sedemikian adalah tidak berasas,” kata kenyataan itu yang dikeluarkan hari ini.
Kenyataan tersebut turut memaklumkan bahawa keluarga Zara tidak mempunyai sebarang maklumat atau pengetahuan berkaitan dakwaan kononnya terdapat teriakan ‘kau pembunuh’ oleh para pelajar kepada pelajar tertentu pada hari kejadian.
“Perkara ini hanyalah diketahui oleh anak guam kami menerusi hantaran yang tular di media sosial.
“Mereka juga tidak ada mengeluarkan kenyataan terdapat tiga pelajar sekolah telah dipindahkan dari SMKA Tun Datu Mustapha Limauan pada hari kematian Zara.

“Maklumat tersebut hanya diketahui oleh anak guam kami selepas ia tular di media sosial,” menurut kenyataan itu lagi.
Pihak keluarga menyeru orang ramai agar menghentikan spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis dan menimbulkan fitnah terhadap individu tertentu.
Mereka juga meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat sahih supaya menyalurkannya terus kepada polis atau melalui peguam keluarga.
“Tindakan menyebarkan dakwaan palsu boleh mengganggu siasatan polis dan menimbulkan fitnah kepada mana-mana pihak.
“Sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan boleh disalurkan kepada pihak polis atau kepada kami,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















