BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Insiden perlanggaran dua kenderaan di Sungai Petani dalam siasatan polis

SUNGAI PETANI – Insiden melibatkan perlanggaran dua buah kenderaan di Jalan Sekerat di sini, yang tular di media sosial sejak semalam kini dalam siasatan pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kejadian itu melibatkan sebuah kereta Toyota Corolla dan Nissan Grand Livina.

Menurut beliau, pihak polis mengesan sebuah video tular di media sosial yang memaparkan kejadian itu, dipercayai berlaku sekitar pukul 1.35 petang semalam.

“Siasatan awal mendapati pengadu melihat kereta Grand Livina miliknya dilanggar lari oleh sebuah Toyota Corolla putih yang dipandu seorang lelaki.

“Pengadu kemudian mengejar kenderaan terbabit sejauh kira-kira satu kilometer hingga ke Jalan Sekerat. Apabila menyedari diekori, suspek bertindak berpusing dan melanggar sisi kanan Grand Livina yang dipandu pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hanyan berkata, suspek kemudian keluar dari kereta, mencabar serta memaki hamun pengadu sebelum melarikan diri.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan serta Kaedah 10, LN 166/59 kerana kegagalan mengawal pergerakan kenderaan dengan baik,” katanya.

Terdahulu, melalui video tersebut, dapat dilihat kereta Toyota Corolla itu bertindak melanggar Nissan Grand Livina berkali-kali.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button