Pemandu lori ditahan rogol kanak-kanak 12 tahun
SUNGAI PETANI – Seorang pemandu lori berusia 22 tahun ditahan polis awal pagi tadi kerana disyaki merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, semalam.
Mangsa yang masih bersekolah itu dikatakan mengenali suspek melalui aplikasi media sosial pada 24 September lalu, memetik laporan BH Online.
Kemudian pada 29 September, mangsa keluar dengan suspek yang kemudian didakwa mencabul kanak-kanak itu pada pertemuan tersebut.
Suspek yang masih bujang dikatakan mengajak mangsa bertemu lagi kira-kira pukul 8.30 malam tadi sebelum didakwa membawa kanak-kanak itu ke belakang sebuah rumah di Kampung Bakar Kapor di sini dan merogolnya.
Difahamkan, mangsa yang pulang kemudian menceritakan kejadian itu kepada keluarganya sebelum membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan mengesahkan suspek ditahan di kawasan Kampung Bakar Kapor kira-kira pukul 1.30 pagi tadi oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.
Susulan itu, kanak-kanak terbabit dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk tindakan lanjut.
Hanyan berkata, permohonan reman akan dibuat di mahkamah di sini, hari ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








