Ibu bapa, warga pendidik perlu pantau keselamatan anak-anak dalam dunia siber – Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengingatkan ibu bapa dan warga pendidik agar memantau aktiviti dalam talian anak-anak bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa jenayah seksual dan ancaman pedofilia.
Beliau menegaskan bahawa keselamatan internet adalah keutamaan kerajaan selari dengan peningkatan akses teknologi digital yang semakin meluas dalam kalangan pelajar sekolah pada masa kini.
“Kerajaan tidak boleh memastikan hanya internet itu meluas, murah, senang diakses, kalau internet itu tidak selamat,” katanya semasa berucap pada Majlis Anugerah Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi kawasan Parlimen Lembah Pantai.
Langkah waspada itu perlu diambil susulan pendedahan pihak polis mengenai tangkapan 117 individu dewasa yang memiliki lebih 1.47 juta fail kandungan seksual kanak-kanak melalui beberapa operasi khas baru-baru ini.
Fahmi turut menyarankan agar kanak-kanak di bawah usia 16 tahun tidak menggunakan media sosial dan menggesa golongan remaja yang lebih dewasa agar lebih berhati-hati bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan atau pemangsa siber.
“Kerajaan akan mengambil satu tindakan seperti banyak negara lain dengan mengehadkan penggunaan media sosial hanya untuk mereka yang 16 tahun ke atas demi menyelamatkan anak-anak daripada menjadi mangsa pedofilia,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi, telah menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan kepada 30 orang pelajar cemerlang dari Parlimen Lembah Pantai yang berjaya memperoleh keputusan 5A ke atas dalam peperiksaan masing-masing.
Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada para guru sempena sambutan Hari Guru dengan menyalurkan bantuan berjumlah RM3,000 kepada setiap 12 buah sekolah di dalam kawasan tersebut.
Fahmi berharap agar pengiktirafan dan bantuan yang diberikan dapat menyuntik semangat warga pendidik untuk terus membimbing generasi muda mendepani cabaran teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) yang mengubah landskap pekerjaan masa hadapan.
Sehubungan itu, beliau juga menzahirkan rasa bangga dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pelajar di Lembah Pantai yang telah memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM serta berharap agar kejayaan tersebut menjadi pemangkin untuk mereka terus berbakti kepada nusa dan bangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















